Seorang pemimpin kanan Umno mendakwa, parti pembangkang, khususnya DAP, berjaya menguasai empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum lalu 'kerana MCA tidak bersungguh-sungguh berusaha untuk merampas kerusi-kerusi berkenaan."

Wilayah Persekutuan yang meliputi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mempunyai 13 kerusi Parlimen.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mendakwa, sikap sambil lewa MCA itu menyebabkan DAP berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Seputeh, Cheras, Kepong dan Bukit Bintang.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Cheras berkata, MCA tidak memainkan peranan yang sewajarnya sebagai parti komponen BN sedangkan calon yang bertanding adalah parti berkenaan.

"MCA tidak bekerja kuat, membuat kerja pada saat akhir dan tidak menemui rakyat di kawasan yang parti itu tandingi.

"Ahli parti itu juga menunggu pengumuman sama ada MCA akan bertanding atau tidak. Jika bertanding barulah mahu menggerakkan jentera parti. Semua kawasan Parlimen yang jatuh ke tangan DAP di Wilayah Persektuan adalah kerusi yang diperuntuk dan ditandingi MCA.

Sebaliknya, kata beliau, jentera pilihanraya Umno telah digerakkan sepenuhnya bagi berkempen membantu calon MCA yang bertanding di kawasan-kawasan terbabit.

Sehubungan itu, Syed Ali berkata, jika calon Umno diletakkan bertanding di kawasan-kawasan tersebut, kemungkinan besar BN mampu merampasnya.

Majoriti pengundi Cina

Beliau memberi contoh kerusi parlimen Cheras yang dimenangi oleh calon DAP, Tan Kok Wai sejak beberapa penggal lalu.

"Kira-kira 88 peratus pengundi Parlimen Cheras adalah keturunan Cina. Hanya 10 peratus sahaja pengundi Melayu tetapi jentera pilihanraya Umno lebih kuat bekerja dari MCA," katanya.

Menurutnya, jika keadaan ini berterusan hasrat BN untuk menyapu bersih kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, akan gagal.

"Jika MCA tidak mahu bertanding, mereka patut memberi kerusi itu kepada Umno dan saya yakin sebahagiannya akan dirampas oleh Umno," katanya lagi.

Syed Ali berkata, MCA perlu bertanggungjawab untuk merampas semula kerusi yang kini dikuasai DAP dan Umno sedia memberi bantuan yang sepatutnya.

Untuk itu, katanya, MCA perlu bekerja kuat mulai sekarang dan tidak boleh lagi menunggu saat akhir kerana DAP turut mempunyai jenteranya sendiri.