Pembubaran PMI abaikan pelajar Islam, dakwa MPPUPM
"Persatuan itu adalah untuk pelajar Islam dan Melayu. Apabila tidak ada lagi persatuan itu, maka mereka tidak ada tempat untuk dituju," kata presiden majlis perwakilan pelajar UPM Mohd Nasri Muarat kepada malaysiakini.
Universiti Teknologi Malaysia hari ini dilaporkan membubarkan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) bagi mengelakkan gerakan antikerajaan berleluasa, selain berharap tindakan itu dapat meredakan gerakan bawah tanah di universiti itu.
Tindakan itu diambil hasil pendedahan seorang bekas pelajar, dan juga aktivis PMI, Wan Noor Hayati Wan Alias, awal minggu ini yang mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan PMI dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.
Sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) membubarkan Kelab Usahawan dan Persatuan Mahasiswa Intelek (sama peranannya dengan PMI) dengan alasan terbabit dengan kegiatan menentang kerajaan.
Mohd Nasri berkata pembubaran persatuan itu tidak rasional dan tidak adil kepada pelajar. "Kerana pelajar yang beragama lain di universiti mempunyai persatuan mereka sendiri tetapi pelajar Islam tidak ada (kerana dibubarkan)," katanya.
Menurutnya lagi, PMI telah lama wujud di universiti-universiti tempatan dan beliau mempertikaikan kemunculan isu itu akhir-akhir ini.
"Tidak wujud isu bahawa PMI mempengaruhi MPP kerana majlis perwakilan pelajar itu turut diwakili pelajar berbilang bangsa,"katanya. "Segala dakwaan yang 'tidak baik' mengenai persatuan itu perlu dibuktikan."
'Membisu bodoh'
Sementara Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung berkata, kerajaan mengenal pasti pelajar, pensyarah dan guru-guru yang didapati sentiasa memberikan semangat yang disifatkan antikerajaan.
Kerajaan sedang meneruskan pemantauan terhadap mereka, katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama hari ini.
"Jika mereka mengkritik kerajaan dan jika membina, saya percaya kerajaan boleh menerimanya tetapi jika terlibat dengan kegiatan militan, mereka telah melakukan kesalahan," kata Chor.
Parti Keadilan Nasional pula menggesa kerajaan menghentikan tindakan keras terhadap pensyarah dan pelajar yang mengkritik kerajaan.
"Keadilan terkejut melihat tindakan mendadak ke atas pensyarah dan siswa di beberapa institusi pengajian tinggi," kata timbalan presiden, Dr Chandra Muzaffar dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan kerajaan menghalang pensyarah dan pelajar universiti menyuarakan pandangan dan kritikan mereka akan menyebabkan golongan ini lesu, tambahnya.
"Intelektual tidak akan berkembang tanpa pemikiran yang kritikal. Universiti tidak akan berfungsi jika pensyarah dan pelajarnya tidak meluahkan pandangan dan 'membisu bodoh'," kata Dr Chandra, juga bekas pensyarah berpengalaman, lagi.
Beliau mengulas pelbagai tindakan keras kerajaan akhir-akhir ini, termasuk terhadap 47 pensyarah UiTM. Seorang dipecat, tiga ditarik biasiswa dan selebihnya ditukar ke kampus-kampus cawangan.
Sementara tujuh pelajar digantung pengajian bulan lalu apabila dituduh di mahkamah berhubung penyertaan dalam perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun.

