Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam hari ini memutuskan bahawa ajaran Kumpulan Black Metal yang diasaskan daripada kumpulan muzik barat berirama rock berat adalah haram dari segi Islam.

Pengerusi Jawatankuasa majlis itu, Datuk Dr Shukor Husin berkata, dengan keputusan itu yang dicapai di Muzakarah kali ke-72 majlis itu di Putrajaya, anggota kumpulan itu kini boleh diambil tindakan mengikut hukum syarie.

Katanya, pihak berkuasa agama negeri-negeri kini dalam proses mewartakan undang-undang mengharamkan ajaran kumpulan ini di bawah enakmen jenayah syarie.

"Kita sedang tunggu pihak berkuasa agama negeri untuk fatwa ini digazetkan di bawah enakmen jenayah Syarie.

"Bila kita dah haramkan Black Metal, pihak berkuasa agama negeri akan berunding. Terpulanglah kepada (pihak berkuasa agama) negeri-negeri (untuk ambil tindakan)," katanya selepas mempengerusikan muzakarah majlis.

Bertentangan ajaran Islam

Menurut Dr Shukor, setelah diteliti dan dikaji daripada semua sudut adalah didapati ajaran kumpulan itu yang diasaskan daripada kumpulan "Metallica" di Amerika Syarikat menggunakan simbol salib terbalik pada tahun 70-an, jelas tertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pengamalannya boleh menyebabkan seseorang Muslim terkeluar dari Islam.

Kumpulan tempatan itu dikatakan melakukan pelbagai aktiviti bertentangan dengan Islam termasuk pemujaan sesat, memijak al-Quran, meminum arak, seks bebas, dan perasaan anti-tuhan.

Dr Shukor bagaimanapun berkata, mendengar lagu kumpulan-kumpulan rock "Heavy Metal" tidaklah menjadi kesalahan.

Beliau berharap ibu bapa, guru-guru, dan anggota masyarakat yang lain dapat bertindak dan membantu mencari jalan mengatasi penularan ajaran itu.

"Cuba cegah jangan lagi ada peningkatan dalam masyarakat daripada segi jumlah bilangan anggota kumpulan itu," katanya.