Boustead Holding Berhad telah menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) kepada semua 1,114 pekerja projek pembinaan kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Bagaimanapun pihak pengurusan telah memberi jaminan bahawa mereka yang menolak tawaran tersebut, akan dikekalkan bekerja di syarikat itu.

Pengarah Urusan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaluddin, Boustead memberitahu perkara itu kepada rombongan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Pertemuan itu turut membabitkan Pengarah PSC Naval Dockyard, Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd Nor dan beberapa ahli BNBBC yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Shahrir Samad.

Ketika dihubungi malaysiakini, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, Lodin memberitahu bahawa isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

Caruman KWSP

Bagaimanapun, katanya tidak ada tarikh tepat yang diberi tetapi pihak pengurusan syarikat akan mencari jalan untuk menyelesaikannya tanpa mengabaikan hak pekerja.

"Isu yang berlaku sekarang ialah Boustead telah menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada 1,114 pekerja tetapi ada yang tidak puas hati menyebabkan ia tidak dapat diselesaikan.

"Dalam pertemuan itu, Tan Sri Lodin berkata pekerja yang enggan menerima VSS itu akan diterima untuk terus bekerja di limbongan tersebut," katanya.

Raja Ahmad berkata, dalam pertemuan itu pihaknya juga membangkitkan kegagalan Boustead mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada 1998, PSC Naval Dockyard menandatangani kontrak bernilai 24 bilion ringgit untuk membina 27 kapal peronda untuk TLDM yang dijangka siap dalam tempoh 10 tahun dengan rakan kongsi asing yang diketuai syarikat Jerman, ThyssenKrupp.

PSC-Naval Dockyard dilaporkan mendapat RM1.8 bilion lagi dari kerajaan untuk menyiapkan tempahan itu.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memegang 70 peratus kepentingan dalam Boustead Holding.