Gerakan singkir Zahid tiada sambutan, kata Tajuddin
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman mengakui wujud usaha oleh segelintir dalam parti itu untuk menyingkirkan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun katanya, gerakan itu tidak mendapat sambutan dan majoriti kepemimpinan Umno memilih untuk memulihkan parti dan bukannya berpolitik sesama sendiri.
"Ada segelintir saja (mahu menyingkirkan Ahmad Zahid), namun tidak mendapat sambutan. Mereka ada agenda tersendiri bukannya untuk parti.
"Ahmad Zahid sudah memberi mandat (kepada Mohamad Hasan) jadi buatlah kerja.
"Keadaan sudah elok dan tenang, sepatutnya lebihkan kerja untuk memantapkan parti dan persiapan pilihan raya umum," katanya kepada Malaysiakini.
'Dalang seorang naib presiden'
Bagaimanapun, Tajuddin yang juga MP Pasir Salak tidak mendedahkan sama ada gerakan itu didalangi oleh pemimpin kanan parti atau sebaliknya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sebuah gerakan kumpulan di dalam Umno didalangi salah seorang naib presiden parti itu dikatakan sedang berusaha untuk "menghapuskan" pengaruh Ahmad Zahid.
Jelas sumber, kumpulan itu mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti dan menyerahkan tampuk kepemimpinan parti sepenuhnya kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan yang kini menggalas tugas Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengalah dengan desakan yang mahukan beliau "berehat" apabila mengumumkan keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya berkuat kuasa serta-merta.
Jalankan tugas presiden
Keputusan itu diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.
“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden," kata Ahmad Zahid.
Dalam pada itu Tajuddin berkata pemimpin Umno sepatutnya lebih banyakkan bekerja daripada "berperang" sesama sendiri yang hanya akan merugikan parti itu.
Katanya, pemimpin Umno sepatutnya memberi sepenuh kerjasama kepada Mohamad bagi mengembalikan sokongan rakyat dan memperkasakan kembali parti.
"Saya seru pemimpin Umno cukuplah berpolitik sesama kita dalam parti, sebaliknya beri tumpuan untuk meraih sokongan rakyat dengan perbanyakkan gerak kerja," katanya.

