Pejabat Seniman dipecah masuk
Diterbitkan: Jan 7, 2019 10:43 AM
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memaklumkan pejabat mereka dipecah masuk kira-kira pukul 10 pagi hari ini.
Setiausaha Agungnya Hafiz Hanafiah berkata mereka menanggung kerugian kira-kira RM5,000 - termasuk kehilangan wang tunai - daripada insiden itu.
Susulan itu, katanya lagi, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati.
“Kejadian itu dikesan oleh kakitangan Seniman.
"Sehubungan itu, satu laporan dibuat bagi memudahkan siasatan lanjut pihak berkuasa,” katanya melalui satu kenyataan.
Katanya lagi, Seniman menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
"Kami menganggap hal ini adalah jenayah serius dan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

