NUTP dakwa guru mengadu rugi dalam kenaikan pangkat
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah menerima aduan daripada para guru yang mengadu tentang kerugian apabila urusan kenaikan pangkat dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah menerima aduan daripada para guru yang mengadu tentang kerugian apabila urusan kenaikan pangkat dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
Sehubungan itu, NUTP menegaskan, isu kenaikan gred DG41 ke DG44 perlu mengikut prinsip pelarasan gaji dan keadah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut surat pekeliling bilangan 1 (1996), iaitu tidak kurang daripada satu pergerakan gaji atas DG41.
Semalam, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan seramai 10,471 guru siswazah Gred DG41 dijangka dinaikkan pangkat ke Gred DG44 tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng berkata, dari segi jumlah yang diterima oleh seseorang guru itu adalah di antara RM130 hingga RM200.
Kenaikan gaji 10,000 guru siswazah terbabit adalah bagi gred DG41 gaji permulaan ialah RM1,474 dan maksimum RM4,039 manakala gred DG44 pula ialah gaji permulaan sebanyak RM2,693 dan maksimum RM4,292.
Menurutnya lagi, jumlah yang diterima bergantung kepada kedudukan mata gaji pegawai pada tarikah mereka dinaikkan pangkat.
Anomali
Lok berkata, dalam surat yang dialamatkan kepada JPA, beliau telah meminta agar anomali berikut, yang timbul dalam pelaksanaan kenaikan pangkat DG41 kepada DG44 diperbetulkan, iaitu:
Telah dinaikkan pangkat ke Gred DG44 (Khas Untuk Penyandang) pada tahun 2004 dan surat keputusan kenaikan pangkat dikeluarkan sebelum tarikh pergerakan gaji asal di atas Gred DG41 pada tahun 2005.
Telah dinaikkan pangkat ke Gred DG44 (Khas Untuk Penyandang) pada tahun 2004 tetapi surat keputusan kenaikan pangkat dikeluarkan selepas tarikh pergerakan gaji asal di atas Gred DG41 pada tahun 2005.
Layak dinaikkan pangkat Gred DG44 (Khas Untuk Penyandang) pada tahun 2004 tetapi surat keputusan kenaikan pangkat belum lagi dikeluarkan.
Menurut Lok lagi, dalam pelaksanaan urusan kenaikan pangkat dari DG41 kepada DG44, harus diambilkira saranan Menteri Pelajaran bahawa kenaikan pangkat ini diberikan kerajaan kerajaan mengiktiraf profesyen perguruan.
Katanya, NUTP mengalu-alukan keputusan kerajaan memberi kenaikan tersebut, yang merupakan yang terbesar dalam perkhidmatan awam sejak merdeka.
Katanya, syarat-syarat untuk urusan kenaikan pangkat dari DG41 kepada DG44 ialah mesti berkhidmat 10 tahun dalam Gred Siswazah, mesti lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Aras 111, diperakui oleh pengetua dan mesti mempunyai markah prestasi yang cemerlang (80 peratus ke atas).
Kecewa
Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika 10,000 warga pendidik bergembira kerana akan menikmati kenaikan pangkat, ramai rakan sejawatan mereka daripada kalangan guru bukan siswazah yang bersedih kerana "tiada berita gembira" untuk mereka.
Pejabat NUTP dihujani panggilan telefon daripada guru bukan siswazah yang ingin mendapatkan kepastian dan tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak diberi peluang untuk menikmati kenaikan pangkat.
Lok berkata, kebanyakan panggilan telefon yang diterima banyak bertanya sama ada guru bukan siswazah turut menikmati kenaikan pangkat.
"Mereka berasa kecewa selepas mendapat tahu bahawa hanya rakan-rakan mereka yang pernah belajar di universiti dan mendapat ijazah sahaja yang menikmati peluang itu.
"Mereka kata kerajaan beratkan siswazah. Ramai juga kecewa, mereka pun guru juga," katanya.
Lok berkata jumlah guru bukan siswazah pada masa ini ialah seramai 120,000 orang.
Katanya, gaji guru bukan siswazah sekarang bermula dari RM1,124 dan boleh mencapai sehingga RM2,428 maksimum.
Walaupun NUTP berasa simpati dengan nasib bukan guru siswazah ini, Lok berkata kesatuan itu menyambut baik keputusan kerajaan memberi kenaikan gaji kepada guru lepasan universiti.
Kerajaan juga pada masa yang sama mengumumkan kenaikan pangkat 1,665guru siswazah Gred DG44 ke DG48 yang kebanyakannya terdiri daripada pengetua.

