Majlis Agama Islam dan Adat Isitadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) meminta agar keputusan berhubung 25 imam yang ditamatkan perkhidmatan mereka 1 Jan lalu diterima dengan hati terbuka.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan sebarang salah sangka terhadap keputusan MAIPs hendaklah dielak kerana tiada pihak mendapat manfaat daripadanya.

“Berhubung perkembangan semasa berkaitan perubahan urus tadbir di masjid negeri Perlis, maka hendaklah diketahui bahawa adalah menjadi hasrat MAIPs mencapai matlamat kecemerlangan dalam pengurusan.

“Untuk itu, MAIPs sudah menggariskan beberapa panduan dalam mencapai maksud terbabit sebagai satu proses berterusan membabitkan pelbagai aspek termasuk pengendalian dan pengimarahan masjid.

“Bagi menunaikan hasrat berkenaan, agensi di bawah MAIPs sudah dipertanggungjawab menjalankan fungsi dan peranan yang sewajarnya,” titahnya dalam kenyataan bertarikh 4 Jan.

Melalui surat bertarikh 31 Dis lalu, 25 imam dilapor ditamatkan perkhidmatan oleh Jaips berkuat kuasa 1 Januari tanpa dinyatakan sebarang alasan.

Dua bekas imam mendakwa pemecatan itu berpunca daripada amalan seperti berzikir beramai-ramai selepas solat, membaca qunut, membaca Yasin pada malam Jumaat serta berselawat ketika solat tarawih.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin bagaimanapun berkata pemecatan itu dilakukan terhadap imam-imam yang lanjut usia agar dapat digantikan dengan yang lebih muda.

Beliau turut membangkitkan masalah imam yang tidak mampu membaca al-Quran dengan sempurna, dikaitkan dengan disiplin, tidak menghadiri kurus, tidak membaca khutbah Jumaat disediakan, membawa penceramah luar dan menyentuh isu politik dalam ceramah di masjid.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, antara langkah terbabit termasuklah dengan melantik imam dan jawatankuasa baharu bagi masjid di seluruh Perlis yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Tujuan di sebalik proses ini adalah bagi memberikan suntikan nafas baharu selaras objektif yang ditetapkan MAIPs.

“Pada masa sama, MAIPs sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan besar yang sudah diberikan Imam, Pegawai Masjid, Nazir, Jawatankuasa Kariah dan mereka yang terbabit dalam menunaikan amanah yang diberikan sebelum ini,” titahnya.

Berikutan itu, baginda meminta semua imam terbabit menerima keputusan yang dibuat MAIPs dan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada imam dan jawatankuasa masjid yang baru dilantik.