Sediakan dokumen undang-undang berkaitan kemudahan perbankan Islam di Malaysia secara lebih telus untuk pelanggan.

Ketika membuat gesaan itu, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata, ia perlu memandangkan dokumen-dokumen sedia ada tidak melindungi beberapa aspek tertentu bagi kemudahan perbankan Islam berasaskan Syariah yang ditawarkan di negara ini.

Setiausaha AIBIM, Md Ali Md Sarif berkata sebagai contoh, peraturan yang digunakan dalam pembiayaan kadar tetap perumahan mengikut konsep Bai Bithaman Ajil (BBA) kerap menimbulkan kekeliruan kerana ia tidak menyatakan mengenai klausa ibra'/muqasah atau rebat.

"Ketiadaan klausa ini dalam dokumen-dokumen Islam menyebabkan timbulnya ulasan mengenai amalan perbankan Islam di negara ini sejak kebelakangan ini," katanya kepada Bernama sebagai mengulas penghakiman Mahkamah Tinggi dalam kes seorang pembeli rumah yang gagal membuat bayaran ansuran pembiayaan menerusi pinjaman bank mengikut kemudahan BBA.

Dalam keputusan penting pada 29 Disember itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail mengurangkan RM376,000 daripada jumlah yang diminta pihak bank daripada pembeli rumah berkenaan dengan menyebut bahawa kesan daripada kegagalan membayar pinjaman menerusi kemudahan perbankan Islam adalah lebih membebankan peminjam daripada membuat pinjaman konvensional.

Hakim itu berkata, apabila hartanah telah dijual dan bank mendapat semula jumlah yang dihutang, bank tidak boleh memperoleh margin keuntungan bagi tempoh yang belum tamat ke atas pinjaman itu.

Klausa Rebat

Dengan membenarkan bank mendapatkan margin keuntungan untuk tempoh pembiayaan yang belum tamat, katanya, bermakna bank akan mendapat keuntungan dua kali bagi jumlah yang sama pada masa yang sama.

Md Ali yang menyambut baik penghakiman itu berkata bagi menangani masalah itu, klausa rebat itu perlu dimasukkan dalam dokumen undang-undang perbankan Islam.

"Melalui cara itu, budi bicara bank dalam memberi rebat akan digantikan dengan layanan standard bagi pinjaman yang sudah diselesaikan lebih awal atau tindakan diambil bagi mendapatkan semula hutang daripada pelanggan.

"Ia juga akan memudahkan pelanggan untuk mengetahui secara tepat tanggungjawabnya kepada bank jika hutang selesai dibayar sebelum tarikh yang ditetapkan atau apabila tindakan mahkamah diambil ke atasnya," katanya.

Beliau berkata, walaupun kadar pembiayaan berubah-ubah (VRF) Islam yang diperkenalkan baru-baru ini mempunyai klausa rebat, bank-bank yang menawarkan kemudahan itu perlu bertindak sendiri dengan memasukkan perkara itu dalam surat tawaran dan dokumen undang-undang.

Format tuntutan

"Tindakan memasukkan klausa itu akan menamatkan pertikaian utama dalam kes-kes yang berkaitan dengan pembiayaan perbankan Islam," katanya.

Menurut Md. Ali, satu lagi bidang yang memerlukan penelitian ialah Perintah 83 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980 yang membabitkan format tuntutan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi.

"Memandangkan format penghujahan adalah berdasarkan kepada pinjaman konvensional, tidak mengejutkan jika intipati kontrak-kontrak perbankan Islam tidak dimasukkan dalam format itu, menyebabkan jumlah yang dituntut akan dipertikaikan.

"Menerusi format baru itu, sebarang rujukan kepada faedah perlu diketepikan dan jumlah yang dituntut perlu dibuat secara tepat," katanya.

Md. Ali berkata berikutan permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan pembiayaan yang mematuhi prinsip Syariah, dokumen undang-undang yang lebih tepat dan telus diperlukan bagi menanam keyakinan di kalangan orang ramai terhadap sistem perbankan Islam selain untuk bersaing dengan produk-produk perbankan konvensional.

"Sistem perbankan Islam telah mencatatkan pertumbuhan pesat sebanyak 19 peratus setahun dan telah diterima sebagai komponen penting dan berdaya maju dalam sistem kewangan Malaysia keseluruhannya," katanya.