Polis marin rampas mercun, kenderaan bernilai RM2 juta
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas sejumlah mercun dan bunga api serta dua buah kenderaan dianggarkan bernilai RM2.2 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pulai Bayu, dekat Iskandar Puteri, petang semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata dalam serbuan pada pukul 4.15 petang itu, pihaknya merampas 600 kotak mengandungi 29 jenis mercun dan bunga api bernilai RM 2.08 juta selain empat buah telefon bimbit serta sebuah lori dan sebuah van.
“Dalam serbuan itu juga, kita telah menahan empat lelaki tempatan berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun dipercayai bekerja sebagai pemunggah barang sejak November lepas dengan gaji sekitar RM1,500 hingga RM2,000 seorang.
"Siasatan awal mendapati mercun tersebut dipercayai diseludup untuk pasaran musim perayaan di seluruh negeri Johor," kata beliau kepada pemberita di Markas PPM Wilayah Dua di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata rumah berkenaan yang dijadikan sebagai stor penyimpanan, dipercayai telah beroperasi lebih kurang dua bulan.
"Hasil semakan rekod jenayah juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu dadah," katanya.
Kesemua suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga esok untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan 1958 yang membawa hukuman penjara maksimun tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
- Bernama

