Elie Youssef Najem, rakyat Lebanon yang mengisytiharkan dirinya "hartawan" dan Farinnie Mohd Farid sedia membayar denda dan mendaftarkan semula perkahwinan mereka supaya sah di sisi undang-undang sekiranya pihak berkuasa agama mengisytiharkan perkahwinan mereka tidak sah.

Bapa mertua Elie, Mohd Farid Abdullah, 67, berkata: "Kadi itu benar, saya telah mendapatkan pengesahan. Segala-galanya dibuat menurut hukum syarak.

"Sungguhpun ia mungkin tidak sah di sisi undang-undang, namun ia sah dari segi agama," kata beliau kepada Bernama dalam temubual di rumah sewa menantunya di Villa Putra di sini malam tadi.

Beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap dakwaan bahawa beliau mungkin sedar mengenai percanggahan berhubung perkahwinan anak perempuannya itu.

"Macam mana orang boleh cakap begitu? Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya sesekali tidak akan melakukan sesuatu untuk melukakan hati anak saya seperti mendirikan rumahtangga yang palsu," katanya.

Menurut laporan Bernama, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) membuat laporan polis dengan mengatakan sijil perkahwinan yang didakwa dikeluarkan oleh jabatan itu adalah palsu.

"Saya tidak menyedari yang sijil itu dikeluarkan oleh JAIK kerana semuanya dalam tulisan jawi, jadi saya tidak dapat membacanya," katanya.

Kesahihan perkahwinan

Elie, 45, yang menjadi tajuk berita setelah mengumumkan derma berjumlah RM1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) kini dipersoalkan kesahihan perkahwinannya dengan Farinnie, 19.

Mohd Farid berkata beliau tidak tahu mengapa sijil perkahwinan itu dikeluarkan di Kedah sedangkan majlis akad nikah berlangsung di Kuala Lumpur.

Semalam, polis memperolehi perintah tahanan reman empat hari terhadap Elie bagi membantu penyiasatan kes penipuannya.

Mengenai laporan bahawa Elie masih beragama Kristian, Mohd Farid berkata beliau mendapatkan bantuan rakan-rakannya bagi mengesahkan status agama Elie sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.

Beliau berkata Elie yang berasal daripada keluarga beragama Kristian, sebelum ini berkahwin dengan seorang rakyat Lebanon beragama Islam tetapi menceraikannya pada 1993.

Katanya beliau tidak pasti di mana perkahwinan itu dijalankan atau jumlah anak Elie hasil perkahwinan itu.

"Saya tidak mahu terlalu banyak bertanya mengenai kisah silamnya kerana saya enggan mengesyaki orang," katanya.

Mohd Farid berkata Cash Discovery Network diwujudkan pada September tahun lalu dan Farinnie merupakan antara beberapa kakitangan awalnya.

Berkahwin 6 Oktober

"Elie melamarnya dua minggu selepas dia bekerja di sana dan mereka berkahwin pada 6 Oktober tahun lalu," katanya.

Farinnie dilantik sebagai naib presiden dan seterusnya pengarah syarikat berkenaan, katanya.

Ditanya tentang keluarga Elie, beliau berkata mereka tinggal di Kanada.

"Satu-satunya hubungan beliau di Lebanon ialah perniagaan yang dikendalikannya di sana," katanya.

Mengenai kesihatan menantunya itu, Mohd Farid berkata beliau tidak pasti sama ada Elie menghidap kanser otak seperti yang dinyatakan oleh ahli perniagaan itu semasa persidangan akhbar bersama Makna sebelum ini.

"Saya tahu dia menghidap kanser tetapi saya tak pasti sama ada ia kanser otak,"