Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu penyiasatan di luar negara berkaitan ahli perniagaan Lebanon Elie Yousef Najem, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan.

"Buat masa ini, kita belum menerima sebarang permintaan daripada Interpol tetapi kita sedia membantu," katanya.

Sementara itu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur petang tadi memerintahkan Elie ditahan reman 4 hari untuk membantu siasatn polis.

Menurut sumber polis, majistret Ahmad Solihin Abd Wahid mengeluarkan periintah reman itu Hospital Kuala Lumpur, di mana ahli perniagaan berusia 46 tahun itu sedang dirawat.

Elie, didakwa terlibat dalam beberapa kes penipuan di luar negara dan dipercayai dalam senarai orang yang dikehendaki oleh Interpol.

Baru-baru ini, laporan Elie menjadi bahan utama akhbar apabila dia mengumumkan untuk menderma RM1 bilion kepada Majlis Kanser Nasinoal (Makna).

Dia ditangkap di kediamannya, Putra Villa semalam oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada jam 6.30 petang semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian kursus penyiasatan berdasarkan risikan Badan Pencegah Rasuah di Kuala Lumpur hari ini, Musa berkata siasatan mengenai Elie akan ditumpukan kepada beberapa kes penipuan dan pecah amanah.

Menurut laporan Bernama, tawaran dan sumbangan yang banyak oleh Elie itu serta laporan meluas media mengenai cara hidupnya menyebabkan ramai orang datang dan menuduhnya "penipu" yang melibatkan bil dan perbelanjaan yang belum dibayar.

Dituduh menipu

Elie, yang mendakwa dia sebagai seorang "hartawan", telah dituduh menipu ramai orang sejak berita mengenai "sumbangan"nya disiarkan secara meluas.

Kesahihan perkahwinan dia dengan seorang gadis tempatan, Farinnie Mohd Farid, 19 juga telah disoal siasat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

JAIK sebelum ini dilapor mengesahkan bahawa perkahwinan pasangan itu tidak pernah berlaku di Kedah seperti yang didakwa Elie, dan sijil nikah yang diperolehi mereka adalah palsu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil keterangan Elie dan Farinnie Mohamed yang sedang hamil tiga bulan berhubung status perkahwinan mereka.

Pengarah Jawi Che Mat Che Ali berkata pihaknya sedang meneliti kes itu memandangkan mereka kini berada di Kuala Lumpur.

"Semalam, saya terima faks daripada JAIK mengenai kedudukan sebenar (kes Elie). Saya sedang meneliti kes ini memandangkan dia berada di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Sukarelawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.