Kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk meneruskan saman terhadap Petronas berhubung pembayaran royalti minyak kepada negeri itu yang dihentikan pada 2000, sebaik sahaja PAS mengambilalih negeri itu selepas pilihanraya umum 1999.

Timbalan Pengerusi Umno Terengganu Tengku Putera Tengku Awang berkata, tidak perlu lagi saman menyaman kerana masalah tersebut sudah diselesaikan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum lalu.

"PAS yang menyaman Petronas kerana Kerajaan Pusat menghentikan pembayaran royalti lima peratus setahun kepada Terengganu mulai 2000.

"Tetapi apabila BN memerintah semula Terengganu, tidak ada sebab lagi saman itu mahu diteruskan kerana ia boleh diselesaikan melalui semangat BN," katanya dalam pertemuan dengan malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Kerajaan Pusat menghentikan pembayaran royalti kepada Terengganu apabila PAS berjaya merampas pemerintahan negeri itu dan menukarnya kepada wang ehsan yang disalurkan melalui Umno negeri.

Bagaimanapun, Tengku Putera yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, peruntukan melalui wang ehsan itu kini dikenali sebagai Dana Khas Persekutuan.

Projek pembangunan

"Secara teknikalnya, dana khas dan royalti adalah sama tetapi nama sahaja yang lain. Wang dipegang oleh Kerajaan Pusat dan diberi kepada kerajaan Terengganu apabila mereka melaksanakan projek pembangunan," katanya.

Beliau berkata, tidak ada had yang diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk membelanjakan projek pembangunan melalui dana khas itu.

Katanya, kerajaan mewujudkan dana khas kerana cara ini dapat mengawal dan memantau perbelanjaan kewangan Terengganu.

Katanya, semasa pemerintahan kerajaan BN sebelum ini, berlaku perbelanjaan yang keterlaluan kerana bayaran royalti minyak dibayar terus kepada kerajaan negeri dan tiada pihak yang memantaunya.

Ini, katanya, menyebabkan beberapa projek yang tidak sesuai, telah dilaksanakan yang tidak manfaat kepada rakyat.

Tengku Putera berkata, sebahagian besar belanjawan Terengganu untuk tahun 2000 yang berjumlah RM1.6 bilion adalah dari dana khas.

Menurutnya, Kerajaan Pusat memberi jaminan akan membantu Terengganu dari segi kewangan bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri tersebut.