Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin secara sinis mempersoalkan Khairy Jamaluddin yang meminta pemimpin Pakatan Harapan dipecat, sedangkan partinya sendiri memilihnya.

Walaupun tidak menyebut nama wakil rakyat Umno itu, namun Hanipa secara jelas merujuk kepada anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini meminta perdana menteri mengekalkan menteri perpaduan P Waythamoorthy dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

"Beliau (Khairy) tidak mahu dua pemimpin PH dipecat. Sehebat tara dia pun, parti dia tak selera nak pilih dia sebagai pemimpin nombor satu.

"Semalam saya terbaca berita bila pemimpin parti dia yang dilabel oleh dia dengan istilah seperti lobak atau "bongap" buat kaji seledik siapa lebih popular antara pemimpin itu (Khairy) dengan mantan presiden parti(Najib Razak), itu pun dia kalah juga, setakat semalam.

"Tak tahulah beliau ini aset atau liabiliti," kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Hanipa merujuk merujuk sindiran Khairy di Twitter semalam yang meminta perdana menteri tidak memecat P. Waythamoorthy dan Dr Maszlee Malik kerana mereka berdua “menguntungkan” pembangkang.

Terdahulu, Khairy mengkritik cadangan anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang mahukan Najib Razak dilantik sebagai ketua pembangkang sementara.

Khairy juga turut melabel Lokman sebagai bingai dan bongap, yang sebelum ini turut mengecam Lokman dengan gelaran kepintaran lobak.

Sebagai membalas kenyataan Khiary itu, Lokman membuat tinjauan di Facebook peribadinya bagi mengukur sokongan orang ramai di antara Khairy dan bekas presiden Umno Najib Razak.

Setakat berita ini ditulis tengah hari semalam 65 peratus memilih Najib berbanding Khairy 35 peratus.

Sebanyak hampir 25,000 undian sudah direkodkan, bagaimanapun pengundian itu telah hilang dari Facebook.

Mengulas lanjut Hanipa berkata mujur pertandingan dalam talian itu hanya Khairy dan Najib sahaja, jika tidak pasti anggota Parlimen Rembau itu akan berada di tangga tercorot.

"Nasib baik tak diadukan dengan 4 orang pemimpin..jika tidak takut takut kalah dan berada di posisi di tingkat nombor empat,"katanya.

Tambah Hanipa yang juga anggota Parlimen Sepang, walaupun Khairy telah menjadi suara popular di media sosial namun beliau tidak menghormatinya.

"Bagi saya, mana-mana pemimpin yang boleh duduk dan " stay" dalam barisan kepimpinan yang terpalit dengan skandal 1MDB, sekecil zarrah pun saya tak hormat. Maaf, respect must be earned. Itu saya lah," katanya.

Waythamoorthy dianggap bertanggungjawab menyebabkan meningkatnya ketegangan dalam isu pertikaian tapak kuil Sri Maha Mariamman akhir Nov lalu.

Untuk rekod Waythamoorthy ialah pemimpin Parti Hindraf Malaysia yang dibawa menganggotai kerajaan melalui lantikan sebagai senator.

Waythamoorthy, 52, diberi tanggungjawab sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelolakan hal-ehwal perpaduan.

Untuk rekod sebelum ini beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan melalui pelantikan oleh Najib Razak. Waythamoorthy kemudian meletak jawatan.

Ketegangan di kuil di Subang Jaya itu mencapai kemuncaknya apabila salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbunuh pada 17 Dis lalu.

Waythamoorthy dianggap bertanggungjawab atas kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tersebut.

Manakala Maszlee ialah seorang lagi menteri yang selalu menjadi perhatian ramai sejak dilantik menyertai kabinet PH.

Antara isu yang diingati ramai berkaitan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu ialah mengenai peraturan kasut sekolah hitam dan pembelajaran renang dalam kalangan pelajar.