'Nazri jangan cuba adu domba PH'
Kenyataan Anggota Padang Rengas Nazri Aziz mengenai perbincangan dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim dilihat cubaan mengadu domba dan melaga-lagakan Pakatan Harapan (PH), kata Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.
Beliau berkata parti itu bertegas mempertahankan amanah rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu seperti mana disebut Anwar semalam.
"Kami juga percaya majoriti anggota dan rakyat tidak akan bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama politik dengan entiti bernama Umno selagi mereka tidak benar-benar mendukung prinsip agenda reformasi.
"Saya sekali lagi menyarankan Nazri Aziz untuk menghentikan tohmahan dan cubaan untuk mengadu-domba ini," katanya yang turut menyifatkan kenyataan tersebut berniat jahat.
Semalam Nazri mendedahkan perbincangan dengan Anwar yang didakwa berlaku ketika mesyuarat dengan anggota Umno Selangor baru-baru ini.

Menurut Nazri, beliau meminta empat perkara daripada Anwar dan sebagai balasan Umno akan menyatakan sokongan kepada pemimpin PKR itu apabila dilantik menjadi perdana menteri kelak.
Bagaimanapun berita mengenai perbincangan itu menimbulkan bantahan daripada akar umbi Umno yang tidak setuju dengan kerjasama parti itu dengan DAP.
Anwar kemudian menjelaskan beliau bertemu sesiapa sahaja di parlimen dan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mereka yang menyokong agenda pembaharuan.
Afif dalam kenyataannya turut berkata Anwar telah menunjukkan iltizam untuk mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
"Beliau kini mengepalai Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen adalah demi memastikan kelangsungan agenda reformasi berterusan," katanya.

