PM campurtangan selesai isu SRJKC Sin Chung
Isu meroboh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Chung, Permatang Sintok di Kepala Batasi selesai dengan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Isu meroboh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Chung, Permatang Sintok di Kepala Batasi selesai dengan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau mengarahkan pengurusan sekolah berkenaan membina segera bangunan sekolah yang baru bagi memastikan pembelajaran murid-murid tidak terjejas.
Abdullah berkata kerja pembinaan bangunan baru itu tidak boleh dilengah-lengahkan demi kepentingan murid-murid berkenaan.
Katanya mahkamah telah membuat keputusan supaya kerja-kerja merobohkan sekolah berkenaan ditangguhkan dan pihak sekolah perlu menggunakan masa itu untuk membina bangunan yang baru.
"Dalam masa penangguhan berjalan, pihak sekolah mesti dengan cepat membina sekolah baru, tidak boleh lengah-lengahkan demi kepentingan pelajar. Sekolah ini bukan besar pun, tidak susah hendak pindah. Kalau pembinaan dilengah-lengahkan, pemaju akan membuat rayuan (di mahkamah), jadi isu tidak habis-habis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Kubang Menerong, Kepala Batas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai "pertelingkahan" antara pihak pengurusan sekolah dan pemaju, Syarikat Motif Era Sdn Bhd berhubung arahan merobohkan sekolah itu bagi memberi laluan kepada pembangunan projek bercampur di situ.
Menurutnya, jika pemaju memikirkan tentang kepentingan mereka maka pihak pengurusan sekolah juga harus memikirkan kepentingan mereka.
Abdullah, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah itu untuk berbincang mengenai jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.
Gembar gembur
Beliau telah lama mengetahui mengenai masalah yang dihadapi sekolah berkenaan dan telah berbincang beberapa kali dengan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengenainya.

"Saya minta Tsu Koon mencari jalan penyelesaiannya," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu isu sekolah ini tidak digembar-gemburkan oleh mana-mana pihak termasuk akhbar dan tidak dikaitkan dengan sentimen perkauman.
Terdahulu itu, Abdullah berkata beliau gembira melihat rakyat Malaysia saling bekerjasama dalam menjayakan ibadah korban.
Katanya sambutan Hari Raya Aidiladha semakin meriah pada masa ini berbanding dahulu dan persepsi masyarakat terhadap hari berkenaan sudah berubah.
"Pada masa saya kecil, orang kata Hari Raya Haji adalah untuk orang haji sahaja tetapi kini penghayatannya telah semakin baik dan berubah," katanya.

