Perubahan besar dijangka dilakukan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah apabila rang undang-undang mengenainya dibentang di Parlimen Mac ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad hari ini.

Radzi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mengkaji Rang Undang-undang Kanun Keseksaan dan Rang Undang-undang Kanun Acara Jenayah, berkata pada masa ini pihaknya sedang meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk orang ramai.

"Kami akan rumuskan segala cadangan sebelum dikemukakan kepada Parlimen," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 229 pegawai dan anggota polis Perlis yang menjadi mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis hari ini.

Radzi berkata, banyak perkara baru yang dicadangkan kepada jawatankuasa itu sejak kajian bermula hampir dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan antara perubahan yang mungkin akan dilakukan tetapi menurutnya segala keputusan yang dibuat kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, jawatankuasa pilihan khas Parlimen itu ialah yang ketiga diwujudkan dalam sejarah negara selepas merdeka.

Kali pertama ia diwujudkan ialah pada sekitar 1970-an bagi mengkaji soal perkahwinan dan perceraian penduduk bukan Islam.

Yang kedua ialah pada 1985 bagi mengkaji undang-undang jenayah yang berkaitan dengan dadah manakala jawatankuasa yang ada sekarang diwujudkan pada 2004.