Kes Moorthy: HRAF gesa perkhidmatan hakim digantung
Terjemahan Wira Everest M Moorthy telah selamat dikebumikan, tetapi isu yang tercetus berhubung pengkebumiannya masih belum berakhir.
Terjemahan Wira Everest M Moorthy telah selamat dikebumikan, tetapi isu yang tercetus berhubung pengkebumiannya masih belum berakhir.
Pagi ini, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) India menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menggantung serta-merta perkhidmatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Md Raus Sharif.
Md Raus yang mendengar kes yang dibawa oleh isteri Moorty, telah memutuskan bahawa pihak mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah berhubung perkara tersebut.
Dalam petisyennya, Gabungan Badan Bertindak Hak Hindu(HRAF) mendakwa, apabila hakim berkenaan enggan mendengar kes tersebut, maka beliau telah gagal melaksanakan hak yang sama sebagai seorang pengadil yang dipertanggungjawab oleh Perlembagaan Persekutuan ke atasnya.
HRAF menyifatkan ianya sebagai 'satu salahlaku yang serius oleh hakim berkenaan'.
Gabungan tersebut menyerahkan petisyen berkenaan dii Kuala Lumpur melalui Ketua Jabatan Hal-Ehwal Diraja Istana Negara, Guli Tahir.
HRAF dianggotai kira-kira 30 NGO termasuk Hindu Seva Sangam, Pergerakan Belia Vivekananda, Majlis Belia India Malaysia dan Yayasan Tamil. Ia ditubuhkan sebagai reaksi terhadap keputusan mahkamah tinggi berhubung kes Moorthy pada 28 Disember lalu.
Moorthy dikatakan telah memeluk Islam. Apabila dia meninggal dunia, tercetus perebutan mayatnya di antara balunya S Kaliammal dan pihak berkuasa agama Islam.
Kaliammal mendakwa, suaminya penganut agama Hindu, manakala Mahkamah Syariah pula memutuskan Moorthy adalah seorang Islam dan oleh itu mesti dikebumikan secara Islam.
Cemar imej
M Ramachandran, yang menandatangani petisyen itu bagi pihak NGO berkenaan berkata keputusan itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan tidak boleh digalakkan dalam masyarakat pelbagai kaum kerana ia memberi kesan tidak baik dalam jangka panjang.
Katanya, persepsi dan keyakinan awam terhadap sistem dan pentadbiran kehakiman telah terhakis berikutan keputusan tersebut.
Menurut Ramachandran lagi, ia juga telah mencemarkan imej kehakiman dan rakyat mahukan jaminan berterusan bahawa sistem kehakiman mempunyai kuasa tertinggi mengatasi badan-badan lain dalam Islam dan bukan Islam.
Jurucakap HRAF, P Waytha Moorthy berkata, petisyen tersebut menyuarakan rasa tidak puashati gabungan tersebut terhadap kurangnya tindakan pihak kerajaan berhubung hak penganut agama minoriti.
"Kita tiada pilihan, dan terpaksa mengemukakan petisyen tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong kerana undang-undang telah gagal melindungi hak minoriti," katanya.
Menurutnya, gabungan tersebut juga akan mengambil langkah selanjutnya dalam kempennya untuk mempertahankan hak badan-badan minoriti agama. Berita asal

