Dewan Pemuda PAS menawarkan khidmat guaman kepada ibu bapa lima pelajar di Ipoh, Perak yang mahu menyaman kerajaan berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, para peguam PAS akan memfailkan Saman Pemula berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Januari ini.

Menurutnya, keputusan memberikan khidmat guaman percuma itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan exco Dewan Pemuda PAS di Taman Merlewar, Gombak Sabtu lalu.

"Lima pelajar berkenaan adalah murid sekolah kebangsaan di Ipoh. Keluarga mereka telah mengadakan pertemuan dengan Pemuda PAS untuk menyaman kerajaan kerana memperkenalkan dasar Bahasa Inggeris itu," katanya.

"Butir lanjut saman tersebut, latarbelakang keluarga dan murid berkenaan, akan kita umumkan pada 20 Januari ini selepas saman difailkan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Saman pertama

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian menjelaskan, PAS menawarkan khidmat guaman itu kerana ibu bapa murid berkenaan tidak mempunyai peguam sendiri.

Ini adalah saman pertama yang dikemukakan terhadap kerajaan berhubung dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.

Dasar ini, walaupun didakwa oleh kerajaan berjaya meningkat penguasaan bahasa Inggeris dan tidak menjejaskan prestasi pelajar dalam menguasai kedua-dua matapelajaran tersebut, namun ia terus mendapat tentangan daripada badan-badan bukan kerajaan pelbagai kaum.

Bantahan terhadap dasar ini semakin ketara hujung tahun lalu apabila pertubuhan pendidikan China, Dong Jiao Zong berjaya menghimpunkan kira-kira 4,000 individu dari pertubuhan bukan kerajan (NGO) pelbagai kaum di Kajang bagi membantah pelaksanaan dasar tersebut.

Tindakan itu kemudiannya disusuli oleh bantahan oleh lebih 100 NGO Melayu yang menyertai Kongres Kepentingan Bangsa pada 17 Disember lalu. Antara lain, kongres itu mengusulkan supaya keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut dikaji semula.