Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata suruhanjaya itu akan mengeluarkan data keputusan pilihan raya yang belum disahkan secepat portal berita Malaysiakini.

"Antara inisiatif yang kami fikirkan ialah untuk mengeluarkan data daripada Borang 14 yang belum disahkan (sebaik sahaja kami terima dari WhatsApp).

"Ini bukan keputusan, ini hanya data yang belum disahkan daripada Borang 14.

"Malaysiakini dapat data mereka daripada ejen yang sama, jadi kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?" katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai reformasi pilihan raya di parlimen hari ini.

Borang 14 juga dikenali sebagai Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi, yang mengandungi nama-nama calon, parti-parti politik serta jumlah undi bagi sesuatu tempat mengundi.

Azhar berkata pada masa ini SPR hanya akan mengumumkan keputusan rasmi selepas menerima salinan Borang 14 di pusat penjumlahan undi, walaupun mereka menerima gambaran mengenainya melalui WhatsApp lebih awal.

Bagaimanapun, Azhar berkata beliau tidak gemar mengatakan data berkenaan sebagai "Data tidak rasmi" Borang 14.

"Ia bukan keputusan tidak rasmi. Saya tidak suka menyebutnya keputusan tidak rasmi kerana orang akan tanya mengapa terdapat keputusan 'tidak rasmi' dan 'rasmi'.

"Data dari Borang 14 adalah yang belum disahkan," jelasnya.