Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menemui tiga laras senjata api jenis AK-47 yang tertanam di satu kawasan belukar berdekatan Kampung Gemang, Ayer Lanas dekat Jeli.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri berkata tiga laras senjata api itu ditemui kira-kira jam 4.20 petang semalam oleh anggotanya ketika melaksanakan Ops Merpati di kawasan itu.

Beliau berkata dalam operasi oleh subunit Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja pasukan itu menemui kesan tanah yang baru digali di tepi sungai ketika meronda di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui senjata yang diletakkan dalam guni yang ditanam di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi di Jeli hari ini.

Muhammad Huzaimi menambah ketiga-tiga senjata dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

"Tiada tangkapan susulan penemuan itu dan ketiga- tiga senjata itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Jeli untuk siasatan lanjut," tambahnya.

- Bernama