Pelaksanaan sistem kerja lima hari seminggu bagi guru tidak meliputi semua sekolah dan hanya tertumpu kepada sekolah yang berjaya melaksanakan program pendidikan merangkumi akademik dan kokurikulum, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon.

Beliau berkata, sekolah yang menghadapi kesulitan untuk melaksanakan program pendidikan, iaitu akademik dan kokurikulum, dalam masa lima hari bekerja disebabkan faktor seperti kekangan masa, ruang, kepakaran dan sebab lain, boleh menggunakan hari Sabtu bagi melakukan aktiviti berkaitan, dengan syarat tidak melebihi dua kali Sabtu dalam tempoh sebulan.

"Begitupun, guru-guru tetap terikat dengan semua arahan, jika mereka diarahkan bekerja pada hari Sabtu, dia terpaksa ke sekolah. Ini supaya tidak timbul masalah berhubung akademik atau kokurikulum.

"Kita telah keluarkan satu surat pekeliling yang jelas mengenai perkara ini, iaitu sekolah yang boleh melaksanakan program mereka dalam masa lima hari bekerja, boleh meneruskan kerja lima hari, tetapi yang tidak boleh, kena teruskan pada hari Sabtu," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Putrajaya selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan Malaysia yang akan mewakili negara ke pertandingan F1 Team In Schools CAD/CAM Design Challenge di Birmingham, United Kingdom, pada 15 Januari ini.

Timbul kekeliruan

Beliau diminta mengulas kekeliruan berhubung arahan kerja lima hari seminggu itu. Dua buah sekolah, masing-masing satu di Pahang dan Lembah Klang, telah menetapkan supaya guru perlu bertugas dari jam 7.30 pagi sehingga 5 petang selama lima hari seminggu.

Menurut laporan Bernama, pelaksanaan bekerja lima hari seminggu untuk guru itu diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 bertarikh 5 Disember yang beliau tandatangani.

Ahamad berkata, perkara itu tidak dimaklumkan kepada kabinet kerana ia merupakan keputusan pentadbiran di peringkat kementerian.

Katanya, beliau akan memberi maklumat balas berhubung perkara tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin.