Amitabh Bachchan menunaikan janjinya untuk menyumbangkan wang sebanyak Rs50 lakh (RM297,698) melalui peralatan mekanikal bagi membantu melancarkan kerja-kerja pembersihan pembetung.

Pelakon veteran Bollywood itu menderma dua peralatan untuk kegunaan individu kepada pekerja sanitasi di World Toilet College, Auragabad dan sebuah lagi mesin trak kepada Brihanmumbai Municipal Corporation (BMC) di Andheri, India kelmarin.

Memetik India Times, mesin pembersihan pembetung itu selebihnya akan diserahkan pada Disember ini.

“Saya berada di NDTV Cleanathon Banega Swachh India, apabila melihat tugas-tugas pembersihan pembetung dilakukan secara manual dan tidak berperikemanusiaan, saya berikrar untuk membelikan 50 buah mesin untuk mereka.

“Hari ni saya menunaikan janji itu. Sebanyak 25 buah mesin invidu dan sebuah mesin menggunakan trak diserahkan kepada BMC,” tulisnya di Twitter semalam.

Pada surat bertarikh 24 November lalu, dialamatkan kepada Manual Scavengers Association (MSA) dan BMC, aktor berkenaan menyatakan hasrat beliau untuk membantu mengelak pekerja pembersihan pembetung daripada melakukan tugas mereka secara manual.

Kata Bachchan, 76 dia simpati apabila melihat pekerja pembersihan terpaksa turun ke dalam lubang penyelenggaraan dan pembetung bagi menyempurnakan kerja mereka.

“Sumbangan saya bagi mengelak tugas yang tidak mengasihani pekerja pembersihan dan mengembalikan maruah dan penghormatan kepada mereka dalam masyarakat,” tulisnya di blog. 

Pelakon Mohabbatein itu juga menggesa BMC dan MSA supaya melaporkan secara konsisten penggunaan peralatan yang diberikan sebagai pemantauan.