Terjemahan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini enggan menyerahkan memorandum berhubung kes M Moorthy kepada pesuruhjaya Suhakam keturunan India.

Selepas selesai majlis taklimat, Naib Presidennya, S Manikavasagam (foto, kanan) yang mendakwa akan menyerahkan memorandum tersebut bagi pihak keluarga Moorthy, berkeras mahukan ia diterima oleh pesuruhjaya bukan keturunan India.

Beliau juga menuntut supaya Pesuruhjaya Datuk N Siva Subramaniam, yang hadir bersama beberapa pegawai Suhakam di majlis tersebut, supaya memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Moorthy dan semua kaum India di Malaysia.

Sewaktu majlis taklimat tersebut, Manikavasagam menegur Siva yang menurutnya telah bersikap 'tidak sensitif' apabila membuat kenyataan pada 29 Disember lalu, menasihatkan keluarga Moorthy supaya menghormati undang-undang Malaysia dan meneruskan kehidupan.

Bekas guru dan pemimpin kesatuan sekerja itu telahpun menjawab berhubung laporan tersebut dalam sepucuk suratnya kepada malaysiakini.

"Semalam kami berjumpa dengan isteri Moorthy (S Kaliammal), keluarganya dan peguam dalam satu majlis sembahyang hari ke-16 (berikutan kematiannya). Mereka semuanya amat kecewa dengan kenyataan anda," katanya kepada Siva (foto), yang duduk diam sehingga akhir taklimat tersebut.

"Kita menghormati undang-undang di Malaysia tetapi kita berada di sini untuk menuntut keadilan. Sudah terlalu banyak kes yang membabitkan masyarakat India yang berlalu begitu sahaja. Lihatlah kejadian Kampung Medah. Bila ia berlaku, masyarakatnya tidak mengadakan bantahan di jalanan. Tetapi cukuplah dengan semua itu," katanya.

Manikavasagam berkata, sebelum inipun, Angkatan Muda PKR pernah enggan menyerahkan memorandum berhubung kes kematian dalam tahanan, kepada seorang pegawai polis Malaysia keturunan India di Bukit Aman.

"Kami tidak mahu menyerahkan kepada mana-mana pesuruhjaya keturunan India. Suhakam ada begitu ramai pesuruhjaya, mengapa orang lain tidak boleh hadir untuk menerimanya? Ini bukan isu yang membabitkan kaum India sahaja. Ini adalah isu negara," katanya.

Surat dari isteri

Ketika membaca ringkasan kes Moorthy, beliau berkata, Kaliammal telah dimaklumkan buat pertamakalinya bahawa suaminya memeluk agama Islam oleh"Mejar Shukri" yang memberitahunya bahawa mayat suaminya akan dituntut untuk dikebumikan secara Islam.

"(Isterinya) juga berkata, jika Moorthy benar-benar masuk Islam, ia bukan dengan kerelaannya sendiri. Sejak tahun 1998 apabila dia lumpuh, Moorthy selalu sakit dan hilang daya konsentrasinya," katanya.

Turut dikembar bersama memorandum tersebut ialah satu salinan surat yang didakwa ditulis oleh Kaliammal yang membangkitkan isu paksaan memeluk Islam. Kaliammal tetap mengatakan suaminya tidak pernah memberitahunya yang dia telah memeluk Islam.

Dalam surat itu, Kaliammal menyatakan rasa terkejutnya apabila dimaklumkan oleh sekumpulan guru agama dari Kor Agama Angkatan Tentera bahawa suaminya telah memeluk Islam, dan jika meninggal dunia, dia akan dikebumikan secara Islam.

Surat itu juga mempunyai cop pengesahan Jabatan Pasukan Khas, Kementerian Pertahanan; Unit Pengislaman Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kor Agama Angkatan Tentera, yang bertarikh 19 Disember

Persepsi

Kemudian, ketika menjelaskan mengenai keengganan Angkatan Muda PKR menyerahkan memorandaum tersebut kepada pesuruhjaya keturunan India, Timbalan Ketua Bahagian Bukit Bintang, S Pushpalingam berkata, ia bagi mengelak persepsi awam bahawa ini adalah isu yang membabitkan masyarakat India sahaja.

"Kita tidak mahu rakyat memikirkan bahawa hanya orang India boleh mendengar masalah orang India yang lain. Inilah sebabnya kita mahu (pesuruhjaya) bukan keturunan India, mengendali perkara ini," tambahnya.

Bagaimanapun, Manikavasagam telah memohon maaf kepada Siva di akhir taklimat tersebut tanpa menjelaskan mengapa dia berbuat demikian.

"Saya memohon maaf atas kenyataan awal saya tadi. Kita pastinya akan menyerahkan memorandum ini esok, tetapi kepada pesuruhjaya bukan keturunan India. Adalah penting ditegaskan(perkara ini)," katanya.

Siva meninggalkan bilik tersebut tanpa berkata apa-apa.

Ditanya mengapa Angkatan Muda PKR memanggil pihak media sekiranya mereka tidak berhasrat menyerahkan memorandum tersebut, Manikavasagam berkata, Suhakam memaklumkan kepadanya bahawa Pengerusi Jawatankuasa Inkuiri dan Aduan, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan akan hadir, tetapi perubahan dibuat pada saat-saat akhir, di mana pesuruhjaya lain yang hadir. Berita asal