Akhbar lulusan KDN dirampas angkara isu Anwar
Polis merampas akhbar-akhbar politik, termasuk yang mendapat permit penerbitan, dengan alasan ia menyiarkan berita mengenai bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa sekumpulan wartawan media bebas hari ini.
"Apabila ditanya oleh pekedai kepada pegawai polis itu, mengapa akhbar yang ada permit juga dirampas, pegawai itu (berpangkat asisten supritenden) dikatakan menjawab: 'Apa saja akhbar yang menyiarkan cerita pasal Anwar tidak boleh dijual'," kata jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lufti Othman kepada malaysiakini .
Dalam operasi 13 Ogos, tiga penerbitan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cabaran , Semasa , Bebas dan Suara PRM (lidah rasmi Parti Rakyat Malaysia) dirampas di sebuah kedai di Jalan Jugra, Banting daripada dua peniaga, Tew Cheng Keow dan Honivathu Banu Nahayanuden.
Turut dirampas, dua akhbar politik yang tidak mempunyai permit, Berita Keadilan (lidah rasmi Parti Keadilan Nasional) dan Pemuda Perkasa (diterbitkan Dewan Pemuda PAS).
Dua peniaga itu ditahan selama lima jam dari pukul 1.30 tengahari di ibu pejabat polis daerah Kuala Langat, Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM2,000.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting mengikut seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan pada 14 September.
Peruntukan itu melarang seseorang mengimport, mencetak, mengedar dan menjual sebarang bahan penerbitan bercetak kecuali dengan kelulusan daripada kementerian. Seseorang yang didapati bersalah boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Menurut Ahmad Lutfi lagi, operasi rampasan pada hari itu tidak melibatkan pegawai penguatkuasa KDN seperti lazim
"Tindakan polis ini (merampas akhbar yang berpermit) cukup melampau dan hendaklah dihentikan serta-merta," katanya.
Beliau mengesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai membuat penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

