Kemelut GPMS: MBM jadi orang tengah?
Kumpulan Reezal Merican Naina Merican sedia menerima Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai orang tengah untuk menyelesaikan konflik dalaman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Kumpulan Reezal Merican Naina Merican sedia menerima Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai orang tengah untuk menyelesaikan konflik dalaman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Bagaimanapun, formula itu ditolak oleh kumpulan Datuk Suhaimi Ibrahim dan menurut Setiausaha Agung kumpulan itu, Sobri Ahmad, penggunaan orang tengah ditolak sama sekali.
Malah katanya, pintu rundingan dengan kumpulan Reezal Merican (foto) sudah tertutup rapat dan mahu ia diselesaikan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Timbalan Presiden kumpulan Reezal Merican, Syed Annuar Mohamad (foto)berkata, rombongan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menemui pihaknya petang semalam bagi membincangkan perkara itu.

Katanya, MBM mencadangkan supaya diadakan semula persidangan khas untuk memilih pucuk pimpinan baru yang disertai oleh kedua-dua belah pihak.
"Pihak kami tidak mempunyai sebarang masalah dan menyambut baik cadangan MBM itu dan mengharapkan kumpulan Suhaimi turut menerimanya," katanya ketika dihubungi hari ini tetapi enggan menamakan wakil MBM itu.
Beliau berkata, MBM merupakan pihak yang paling layak untuk menjadi orang tengah kerana GPMS merupakan gabungan MBM.
"Siapa yang dipilih dalam persidangan semula itu harus disokong oleh semua pihak, barulah wujud perpaduan di dalam GPMS," katanya.
Bagaimanapun Setiausaha Agung MBM, Norizan Sharif ketika dihubungi enggan mengulas kenyataan Syed Annuar itu.
Katanya, tiada apa yang hendak dikatakan ketika ini kerana beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sehingga menyukarkan mencari jalan penyelesaian.
Sementara itu Sobri yang mewakili kumpulan Suhaimi mendakwa, tidak ada wakil MBM yang datang menemui pihaknya. Beliau juga menegaskan kumpulannya tidak akan menerima MBM dan pihak lain sebagai orang tengah.
"Kami mahu menyelesaikan masalah ini sendiri dan berasa yakin boleh berbuat demikian dalam sedikit masa lagi," katanya.
Tindakan undang-undang
Sobri juga mengulangi gesaannya supaya orang luar tidak campur tangan dalam urusan GPMS supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

"Kedua-dua pihak sudah mengadakan persidangan agung masing-masing, biarlah Pendaftar Pertubuhan menentukan kumpulan mana yang sah," katanya.
Sementara itu, Sobri berkata, pihaknya mungkin mengambil tindakan ke atas tokoh politik yang melemparkan fitnah dan memburuk-burukkan kumpulan GPMS yang diterajui oleh Suhaimi.
Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenalpasti tokoh politik berkenaan dan sedang memantau perkara itu dari masa ke semasa.
"Mereka bercakap tanpa usul periksa dan tujuannya ialah untuk melempar fitnah dan memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Suhami.
"Malah orang yang bukan ahli turut berbuat demikian. Apakah agenda mereka? Kita akan mengambil tindakan undang-undang tidak kira beliau seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri" katanya.
Pemimpin berkenaan, menurutnya menggunakan media memburuk-burukan kumpulan Suhaimi untuk memberi tekanan kepada pemimpin dalam kumpulan itu. 
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai pengerusi GPMS Perlis berkuatkuasa minggu lalu.

