Dua orang termasuk seorang wanita cedera selepas sebuah bilik di Blok B, Teratak Muhibah 2, Taman Desa di sini terbakar awal hari ini.

Tanpa memberikan butiran, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata seorang mangsa yang dikenali sebagai Alvin Borlon, 56, mengalami kecederaan melecur sebanyak 90 peratus manakala wanita berkenaan Norfarahin Abdul Hamid, 27, melecur pada tahap 26 peratus.

"Kami segera menggerakkan 19 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh serta Bukit Jalil ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira 3.07 pagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Katanya kebakaran itu menyebabkan bilik berkeluasan 8x12 kaki persegi musnah sepenuhnya dan punca kejadian masih disiasat. --

- Bernama