PAS gesa rakyat bangkit bantah Icerd, ICCPR
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan hari ini mengajak rakyat supaya bangkit melakukan bantahan terhadap usaha ke arah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR).
Sehubungan itu, parti berkenaan sekali lagi mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak meratifikasi Icerd dan ICCPR yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan dan boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
“Ekoran penegasan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) di Dewan Rakyat semalam, seluruh pimpinan dan ahli bersedia untuk memobilisasi rakyat membantah usaha ke arah meratifikasi konvensyen ini.
“PAS menyeru seluruh pimpinan dan ahli malah seluruh rakyat prihatin di negara ini agar bangkit melakukan bantahan terhadap usaha mengiktiraf Icerd selama mana tidak bercanggah dengan lunas undang-undang dan syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, tiada keperluan untuk Icerd dan ICCPR diratifikasi di negara ini kerana semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat layanan adil di sisi perlembagaan persekutuan.
“Di Malaysia, semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat layanan yang adil di sisi Perlembagaan.
“Oleh itu, Icerd dan ICCPR adalah senjata yang digunakan untuk menjayakan kepentingan politik segelintir pihak yang tidak senang dengan status quo di Malaysia.
“Mereka mahu menghapuskan kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan. Hak asasi manusia yang diperjuangkan tidak sesuai diterjemahkan di Malaysia yang dicintai ini,” katanya.
Nasrudin juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan yang menyatakan pendirian membantah Icerd dan ICCPR.

