PAS macam komunis: Gerakan didesak mohon maaf
"Selepas ini, jika beliau enggan (berbuat demikian), kita (Pemuda PAS) akan pergi ke pejabat (Gerakan) untuk bersemuka (dengan beliau) dan menghantar memorandum," kata timbalan ketua pemuda PAS Salahuddin Ayub kepada akhbar di luar balai polis Dang Wangi, tengahari tadi.
Akhbar The Star melaporkan Lim berkata kaedah bergerak dan berpertubuhan PAS sama dengan komunis apabila mendedahkan pelajar sejak di peringkat rendah kepada politik.
Laporan itu juga menyebut Lim berkata PAS mungkin mempunyai kaitan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Diketuai Salahuddin, Pemuda PAS sebelum itu membuat aduan polis mengenai kenyataan Lim di balai yang sama.
"Saya dapati kenyataan liar Dr Lim terhadap PAS - sebagai sebuah parti yang sah dan berdaftar - mempunyai unsur-unsur hasutan yang boleh menyebabkan timbulnya ketakutan di kalangan rakyat," aduan itu dipetik.
Menurut aduan itu lagi, kenyataan Lim juga boleh menimbulkan kebencian orang ramai terhadap PAS dan ketegangan antara penyokong parti itu dengan penyokong Barisan Nasional.
"Saya menggesa polis supaya menahan dengan segera Dr Lim untuk membolehkan satu siasatan terperinci dibuat atas kenyataan sesat beliau. Dr Lim sebelum ini pernah membuat kenyataan yang serupa, dan kemungkinan mengulanginya lagi jika tiada tindakan diambil," kata Salahuddin, dalam aduan itu.

