Tokoh politik sedang meningkat naik, Khairy Jamaluddin kini muncul sebagai orang korporat apabila membeli 13 juta saham dalam kumpulan berasaskan aktiviti kewangan, ECM Libra Berhad.

Menurut laporan Reuters, Khairy membeli tiga peratus ekuiti syarikat itu pada harga 71 sen sesaham membabitkan jumlah keseluruhan RM9.2 juta.

Khairy adalah pengarah ECM Libra sejak Julai 2004. Pengumuman pembelian saham oleh Khairy itu dibuat dalam pengumuman ECM Libra kepada pihak berkuasa bursa saham.

Jualbeli saham itu dibuat dalam tiga pembelian dari Pengerusi syarikat itu, Kalimullah Masheerul Hassan yang juga bekas Ketua Pengarang kumpulan NST, Ketua Eksekutif ECM Libra, Lim Kian Onn dan Ketua Pegawai Operasinya, Chua Ming Huat.

Khairy sebelum ini lebih dikenali sebagai menantu Perdana Menteri dan Naib-Ketua Pemuda Umno. Beliau dipercayai sedang bercuti di Australia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Nor pula menyatakan kehairanannya bagaimana Khairy mampu membiayai pembelian saham tersebut.

" Saya mahu tahu bagaimana dia mendapat begitu banyak wang. Kita tidak menuduhnya melakukan apa-apa tetapi menjadi orang paling rapat dengan Perdana Menteri, Khairy patut membuat penjelasan,"kata Ezam.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang juga berharap Khairy memberi penjelasan berhubung perkara itu.