AP sisa plastik diteruskan tapi terhad - Zuraida
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pemberian lesen import (AP) bagi sampah plastik akan diteruskan namun dihadkan kepada syarikat yang layak dan memenuhi syarat kelulusan yang ditetapkan kementerian itu.
Selain itu katanya, kementerian juga menetapkan ratio bagi syarikat pengimport sisa plastik dengan mewajibkan penggunaan 30 peratus sisa plastik tempatan.
"Cadangan ini secara tidak langsung akan mengurangkan pengimportan sisa plastik sebanyak 30 peratus dan seterusnya meransang aktiviti kitar semula sisa plastik tempatan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Zuraida, pengharaman serta merta sisa plastik akan menjejaskan industri pemprosesan plastik di Malaysia kerana produk plastik yang dihasilkan di dalam negara akan dieksport ke luar negara untuk dijadikan sumber kepada bahan lain.
"Bagi mengawal kemasukan sisa plastik ke Malaysia, kerajaan juga sedang merancang ke arah penetapan kuota kebangsaan bagi memastikan Malaysia tidak menerima sisa plastik secara berlebihan sekiranya terdapat mana-mana negara melaksanakan sekatan ke atas pengimportan sisa plastik," katanya.
Zuraida turut memaklumkan jumlah keseluruhan sisa plastik yang dieksport ke Malaysia dari tahun 2015 hingga 2017 adalah sebanyak 1,087,424 tan.
Pada 24 Julai lepas, KPKT mengumumkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan susulan insiden pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca dari kilang yang memproses plastik import secara haram.
Minggu lalu, Zuraida berkata kementeriannya memuktamadkan untuk menghentikan sepenuhnya AP bagi sampah plastik berkuatkuasa 26 Okt lalu.

