Tiada arahan tutup St John Ambulance - Ktan
"Mustahil kerajaan negeri ada pengaruh kuasa untuk mengarahkan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di seluruh Kelantan menutup persatuan itu," kata Anual Bakhri Haron dalam kenyataan kepada malaysiakini hari ini.
Akhbar The Star semalam melaporkan, SJAM Pulau Pinang berasa kesal kerana persatuan-persatuan itu diarah tutup kerana kerajaan Kelantan mendakwa pergerakan itu berkaitan dengan Kristian.
Laporan itu juga memetik kenyataan timbalan ketua menteri Pulau Pinang Dr Hilmi Yahya yang mendakwa tindakan Kelantan itu menunjukkan negeri itu "berfikiran sempit."
Bagaimanapun, malaysiakini semalam melaporkan pemimpin SJAM Kelantan Abdul Rahim Omar menafikan kerajaan negeri itu mengeluarkan arahan sedemikian.
Menurutnya, empat cawangan - dua di sekolah rendah dan dua lagi di sekolah menengah - di negeri itu ditutup kerana ia tidak bergerak aktif disebabkan tiada guru penasihat.
Anual berkata, pengakuan Abdul Rahim itu mengesahkan bahawa kerajaan Kelantan tidak mengarahkan persatuan itu ditutup.
Beliau turut menyifatkan laporan akhbar harian berbahasa Inggeris itu palsu. "Semua ulasan lanjut yang diasaskan kepada kenyataan palsu itu juga turut palsu, bersifat lemah, bohong dan mungkin berniat jahat," katanya.
Beliau juga mendesak agar pihak yang terbabit memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan palsu itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Perpaduan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Kelantan Anuar Tan Abdullah hari ini berkata, beliau akan mendapatkan peguam untuk mengeluarkan surat arahan kepada The Star dan komander SJAM Pulau Pinang Lim Thoon Deong agar meminta maaf.
Pemuda PAS Kelantan pula mendesak kerajaan negeri menyaman akhbar itu kerana sering menyiarkan berita yang dianggap memfitnah Kelantan.
"Akhbar itu bukan kali ini membuat berita bohong, bahkan telah beberapa kali," kata setiausahanya Mohd Zaki Ibrahim kepada Harakahdaily.com hari ini.

