DAP gesa cadangan kontrak guru dibatalkan
Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock berkata cadangan itu menunjukkan "kerajaan tidak sensitif kepada guru."
"Ia (cadangan itu) juga menunjukkan kerajaan terlalu sensitif dan tidak sabar menangani masalah yang hanya membabitkan sebilangan kecil guru," tambahnya, mengulas keputuan 11 kesatuan sekerja dan persatuan dalam bidang perguruan, mewakili 260,000 ahli, yang sebulat suara menolak saranan itu semalam.
Sebelas persatuan dan kesatuan itu, yang membentuk Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru, sebaliknya bercadang menemui Perdana Menteri untuk mendapatkan gambaran jelas tentang perkara itu.
"Kita hendak berjumpa dengan Perdana Menteri untuk memberitahunya sendiri mengenai reaksi dari peringkat bawah yang tidak bersetuju dengan cadangan ini," katanya seperti dilaporkan hari ini. "Isu kontrak ini ibarat api di kalangan guru-guru dan perlu dipandang serius."
Terdapat kira-kira 284,000 guru sedang berkhidmat dengan kerajaan di seluruh negara.
Pada 13 Ogos, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsudin dilaporkan berkata, kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru sekolah menandatangani kontrak akujanji bagi memastikan mereka "lebih bertanggungjawab" dalam tugas mendidik pelajar.
Tidak perlu kontrak khusus
Abdul Aziz berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad mengenai cadangan itu bagi membolehkan ia dilaksanakan serentak dengan perjanjian ke atas pelajar dan pensyarah universiti mulai tahun depan.
Cadangannya itu bagaimanapun ditolak oleh dua kesatuan utama, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) beberapa hari selepas itu.
Setiausaha Agung NUTP Datuk N Siva Subramaniam pernah memberitahu malaysiakini, kontrak itu tidak semestinya menjamin guru lebih bertanggungjawab dan dedikasi.
Cuepacs pula menolak cadangan kementerian itu dengan alasan Peraturan Pegawai Awam dan Tatatertib 1993 sudah memadai.
"Tidak perlu satu kontrak lain yang khusus ..." kata Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Manan.
Beliau berkata kontrak itu - jika dikuatkuasakan - akan menambahkan perasaan tidak berpuas hati dan kekecewaan di kalangan guru dan kakitangan awam terhadap kerajaan.
Pemimpin pembangkang itu berkata kerajaan harus menghormati keupayaan guru-guru untuk berfikir, menganalisis dan bertindak secara rasional serta bebas.
Bagi menjaga imej guru yang sudah lama diiktiraf, kerajaan perlu gugurkan cadangan itu, katanya, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini hari ini.

