Kumpulan penyokong pembangkang, bersama tiga pemimpin PAS yang baru dibebaskan, yang diketuai Datuk Fadzil Mohd Nor berada di masjid Kajang.

Tiga aktivis itu dijadualkan mengadakan majlis sembahyang sunat syukur. Kira-kira 1,000 penyokong berada di kawasan ini, termasuk beberapa pemimpin bukan Islam.

Mahfuz cerita pengalaman dibebaskan

9:30am, JUM: Ketua Pemuda PAS dan dua orang lagi rakannya dibebaskan jam 2 pagi ini dari Penjara Kajang. Beliau kemudiannya dibawa "bersiar-siar" dengan sebuah kenderaan polis sehingga plaza tol Rawang, Selangor.

Sementara Naib Ketua Pemuda Salahuddin Ayub dan aktivis parti itu Jalaluddin Abdul Manan dibebaskan di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga aktivis Pemuda PAS itu muncul menyertai kira-kira 2,000 penyokong sekitar jam 9:11 pagi ini dan menyampaikan ucapan ringkas.

Kumpulan itu kini telah bersurai sekitar 10 minit lalu dan dijangkakan berkumpul di Masjid Negara untuk sembahyang Jumaat. Beberapa pemimpin pembangkang dijadualkan menyampaikan ucapan selepas itu.

Malaysiakini difahamkan semua jalan utama ke bandar Kajang dikawal polis bermula jam 4 pagi tadi.

Di mana Mahfuz?

9am, JUM: Walaupun didakwa telah dibebaskan, Mahfuz Omar belum kelihatan di tempat perhimpunan. Pemimpin pembangkang menafikan Ketua Pemuda PAS itu telah dibebaskan.

Hampir 1,000 orang berhimpun di Jalan Semenyih, tidak jauh dari lorong ke Penjara Kajang.

Pemimpin PAS-polis berunding

8:30am, JUM: Beberapa pemimpin pembangkang sedang berunding dengan polis agar membenarkan perhimpunan diadakan di depan Penjara Kajang.

Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor, Pengerusi DAP LIm Kit Siang, Presiden PRM Dr Syed Husin Ali, pengerusi jawatankuasa perhimpunan Dr Hatta Ramli, Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Naib Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohd Nor antara pemimpin utama yang hadir bersama 500 penyokong.

Bilangan penyokong semakin meningkat.

Kawalan polis ketat, Mahfuz dibebaskan

8:15am, JUM: Kira-kira 300 penyokong PAS berkumpul tidak jauh daripada satu sekatan polis yang diadakan di jalan kecil menuju Penjara Kajang.

Sementara kira-kira 100 orang lagi berada di jalan besar menuju tempat perhimpunan itu. Beberapa sekatan jalan raya juga diadakan di sekitar bandar itu.

Menurut sumber polis, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dan dua lagi aktivis parti itu telah dibebaskan jam 2 pagi tadi.

Selepas sekatan pertama, satu lagi sekatan jalan raya diadakan berhampiran penjara. Kira-kira 70 penyokong pembangkang berada di antara dua sekatan ini.

[Laporan lanjut selepas ini]

[#1]Pembangkang rancang himpunan sehari suntuk[/#], 8 Dis