Dulu Kanye West, kini Ye
Penyanyi rap antarabangsa, Kanye West kini hanya mahu dikenali sebagai 'Ye'.
Ye, merupakan nama timangan West, 41 dan ia turut digunakan sebagai tajuk pada album kelapannya yang diedarkan Jun lalu.
Perubahan itu dibuat menjelang penampilannya pada acara Saturday Night Live di mana dia dijangka melancarkan album terbarunya, Yandhi.
Dia menggantikan penyanyi Ariana Grande yang membatalkan kehadirannya pada acara itu.
West sebelum ini berkata, nama itu mempunyai kaitan dengan keagamaan.
"Saya percaya 'Ye' perkataan yang paling banyak digunakan dalam Bible, dan dalam Bible ia bermakna 'kamu,'" kata West pada awal tahun ini ketika membincangkan tajuk albumnya dengan pengacara radio, Big Boy.
"Jadi saya adalah kamu. Kamu adalah kita, ia adalah kita. Dari Kanye yang bermaksud satu-satunya kepada Ye - yang menggambarkan kebaikan kita, keburukan kita, kekeliruan kita, segala-galanya. Album itu lebih daripada sekadar mencerminkan siapa diri kita," katanya.

