Wanita dipanggil semula untuk pengesahan semula
Suruhanjaya bebas hari ini memanggil semula wanita dalam klip video yang diarah membuat ketuk ketampi dalam keadaan bogel di Balai Polis Petaling Jaya, untuk pengesahan bahawa dia bukan warganegara China seperti yang didakwa sebelum ini.
Suruhanjaya bebas hari ini memanggil semula wanita dalam klip video yang diarah membuat ketuk ketampi dalam keadaan bogel di Balai Polis Petaling Jaya, untuk pengesahan bahawa dia bukan warganegara China seperti yang didakwa sebelum ini.
Wanita berbangsa Melayu itu dipanggil semula pada jam 5 petang. Ketika itu klip video ditayangkan kepada hadirin dalam bilik siasatan tersebut dan dihentikan pada bahagian yang menunjukkan wajahnya.
Ketika itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang mengetuai siasatan tersebut meminta wanita terbabit berpusing ke arah hadirin dan membuka tudung.
S. N. Nair - peguam pemerhati mewakili empat wanita rakyat China yang mengadu menerima layanan buruk ketika dalam tahanan polis - kemudiannya memberitahu suruhanjaya siasatan yang beliau puashati yang wanita itu adalah sama dengan wanita dalam klip video berkenaan, berdasarkan kepada bentuk bibir dan matanya.
Bagaimanapun, Dzaiddin sekali lagi mengingatkan para hadirin dan pihak media mengenai larangan menyiarkan gambar wanita sepertimana yang diarahkannya semalam.
Sebelum ini, Nair memohon supaya wanita itu, yang memberi keterangan semalam, dipanggil semula di hadapan suruhanjaya siasatan itu.
Bercakap kepada lima anggota panel suruhanjaya pada siasatan itu, S. N. Nair berkata, wanita itu perlu dipanggil semula supaya beliau dapat mengesahkan secara positif bahawa wanita di dalam video klip itu adalah dirinya, yang dirakamkan oleh orang yang belum dapat dikenal pasti, ketika beliau membuat ketuk ketampi di dalam bilik simpanan barang tahanan wanita di balai polis itu.
Wanita China
"Semalam ketika wanita itu berada di mahkamah, tiada sesiapa, kecuali lima anggota panel suruhanjaya itu yang dapat melihatnya dengan jelas. Sekurang-kurangnya mereka yang berada di galeri awam dibenarkan melihat wanita itu untuk mengesahkan bahawa beliau adalah wanita yang digambarkan di dalam klip video itu," katanya kepada kelima-lima anggota panel suruhanjaya itu yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.
Menurut Bernama, anggota lain ialah bekas Timbalan Presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, peguam dan Ketua Biro Undang-Undang Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Khutubul Zaman Bukhari dan Datuk Hamzah Mohamed Rus yang bertindak sebagai setiausaha suruhanjaya.
Semalam, wanita itu seorang rakyat tempatan berbangsa Melayu berusia 22 tahun mengesahkan bahawa beliau adalah orang yang digambarkan dalam klip video itu, berdasarkan kepada pengikat rambut, panjang rambut dan bentuk tubuh badannya. Bagaimanapun, bukti mengenai pengikat rambut itu tidak dikemukakan dalam siasatan itu.
Bekas Ketua Hakim Negara itu bagaimana memutuskan bahawa suruhanjaya itu tidak perlu memanggil keempat-empat warganegara China itu untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu kerana terbukti wanita yang digambarkan di dalam klip video itu adalah seorang wanita Melayu tempatan.
Satu daripada terma rujukan suruhanjaya itu ialah untuk mengesahkan sama ada betul atau tidak wanita di dalam klip video itu adalah seorang daripada lima wanita warganegara China yang ditangkap dan ditahan oleh polis. Seorang daripada lima warganegara China itu telah pulang ke negaranya dan tidak dapat dikesan.
Klip video itu yang menggambarkan seorang wanita sedang melakukan ketuk ketampi di hadapan seorang anggota polis wanita telah didedahkan di Parlimen pada 24 Nov dan sejak itu isu mengenai betul salahnya prosedur polis mengenai pemeriksaan badan orang tahanan heboh diperkatakan.
Terma rujukan
"Memandangkan kita telah mengesahkan bahawa mereka (keempat-empat warganegara China itu) bukan wanita di dalam klip video itu, tidak ada sebab kenapa mereka perlu dipanggil memberi keterangan.
"Jika kita membenarkan mereka, maka kita akan berada di sini selama-lamanya kerana ada banyak orang yang berhasrat untuk memberitahu kita mengenai prosedur ketuk ketampi itu. Kita cuma ingin mengetahui sama ada wanita di dalam klip video itu adalah seorang daripada lima warganegara China itu," katanya.
Terdahulu, DPP Suhaimi Ibrahim memberitahu suruhanjaya itu bahawa beliau tidak berhasrat untuk memanggil keempat-empat warganegara China itu kerana terbukti bahawa wanita di dalam video itu bukan seorang daripada mereka.
Nair bagaimanapun berkata walaupun satu daripada terma rujukan Suruhanjaya itu telah dipenuhi, warganegara China itu sepatutnya diberi peluang untuk memberi keterangan kerana terma rujukan ketiga Suruhanjaya itu ialah menentukan sama ada berlaku perbuatan tidak sopan oleh anggota polis yang melakukan pemeriksaan badan.
Dua lagi terma rujukan Suruhanjaya itu ialah untuk menyiasat prosedur pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas wanita dan untuk meneliti prosedur operasi standard polis atau peraturan melakukan pemeriksaan badan dalam hal penangkapan dan penahanan seseorang.

