Calon bebas, Datuk Ibrahim Ali yang kalah teruk dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir menegaskan masa depan politiknya belum berkubur dan akan bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang.

"Perjuangan politik belum tamat, saya akan bertanding lagi," tegasnya kepada malaysiakini. Ibrahim yang hilang depositnya kerana hanya meraih 415 undi dalam pilihanraya tersebut.

Selain mendakwa ramai penyokongnya 'telah dibeli' Ibrahim (foto) juga mendakwa, kekalahan teruknya adalah ekoran penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau menarik diri daripada bertanding.

Beliau mendakwa, SMS itu berbunyi: "Ambo, Datuk Ibrahim Ali mohon maaf, dengan berat hati terpaksa tarik diri bertanding di N12 Pengkalan Pasir. Undilah yang terbaik, dari Tok Him.'

Katanya, beliau sudah mengenalpasti individu yang melakukan penyebaran SMS berkenaan dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

Selain itu, katanya, timbul pula berita Sultan Kelantan tidak merestui calon dari Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan ia sekaligus merujuk kepada dirinya kerana beliau adalah pengerusi majlis itu.

Katanya, media massa pula menggunakan isu itu untuk memberi gambaran bahawa beliau tidak direstui oleh Sultan Kelantan sedangkan beliau bertanding bukan atas kedudukan pengerusi MTRK.

"Semua ini adalah untuk menarik undi dari penyokong saya di Pengkalan Pasir," katanya.