Beberapa ahli Parlimen di Asean berpendapat sudah tiba masanya bagi pertubuhan tersebut mengkaji semula dasarnya, yang tidak campurtangan Asean dalam hal-ehwal negara anggota serta penglibatannya di Myanmar.

"Rampasan kuasa tahun lalu yang menggantikan Perdana Menteri Jeneral Khin Nyunt dengan Left-Jen Soe Win, lanjutan perintah tahanan di rumah pemimpim pembangkang Aung San Suu Kyi pada 27 November lalu selama enam bulan lagi dan memindahkan ibukota Yangon ke pedalaman Pyinmana, semuanya merupakan petunjuk bahawa rejim tentera di Myanmar mahu memencilkan diri," kata senator Thai Jon Ungphakorn kepada Bernama.

"Mereka tidak menghiraukan kebimbangan dunia mengenai apa yang berlaku di Myanmar," kata beliau yang juga anggota forum perundingan antara Parlimen Asean mengenai Myamnar (AIPMC) itu ketika dihubungi melalui telefon di Bangkok.

Parti Suu Kyi, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLP) memenangi pilihanraya 1990 tetapi tidak dibenarkan memerintah dan pemenang hadiah Nobel itu hidup dalam tahanan sejak 15 tahun lalu.

Dalam Persidangan Tadbir Urus baik, Demokrasi dan Asean di Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Disember lalu, para senator, anggota parlimen dan diplomat, mengambil perhatian bahawa konvensyen kebebasan Myanmar untuk menggubal perlembagaan baru "masih dipersoalkan kesahihannya kerana tidak melalui proses demokrasi dan tidak melibatkan sembilan parti politik yang mewakili 91 peratus daripada kerusi Parlimen".

Ungphakorn menyokong supaya keanggotaan Myanmar dalam Asean digantung kecuali ada kemajuan dalam pelan perancangannya ke arah demokrasi dalam jangka masa setahun akan datang dan membebaskan Suu Kyi serta tahanan politik lain.

Hak asasi manusia

"Dasar tidak campurtangan patut dikaji semula keseluruhannya," kata bekas aktivis hak asasi manusia itu.

"Dasar Asean sepatutnya atas asas kewujudan bersama dan juga hak untuk memberi komen apa yang berlaku di negara jiran yang turut memberi kesan terhadap negara mereka sendiri," katanya

Thailand terjejas dengan penghijrahan lebih tiga juta penduduk Myanmar serta kegiatan dadah di sempadan dan menularnya penyakit kerana tahap kesihatan yang tidak memuaskan di Myanmar, jelas beliau.

Satu lagi contoh, katanya, keganasan di selatan Thailand yang menjejaskan Malaysia.

"Malaysia berhak untuk mempersoalkan dan memberi pendapat mereka mengenainya," katanya.

Manakala anggota Parlimen Singapura, R Ravindran pula berkata, penglibatan membina dan pelan perancangan Asean bagi satu perubahan di Myanmar, telah gagal sama sekali.

Pembaharuan demokrasi

Dalam jawapannya melalui e-mail kepada Bernama, beliau berkata:"Myanmar telah merosakkan imej Asean dan terus bersembunyi di sebalik nama baik pertubuhan ini".
Beliau yang merupakan anggota delegasi Parlimen Asean ke New York Oktober lalu bagi menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendesak kerajaan tentera Myanmar mengadakan pembaharuan demokrasi berkata:

"Saya benar-benar berharap negara anggota Asean tidak lagi bersikap toleran terhadap Myanmar dan memberi kata dua dalam perundingan tertutup mereka daripada mengeluarkan kenyataan yang penuh bersopan".

Setiausaha AIPMC Teresa Kok, yang juga anggota Parlimen DAP Seputeh pula berkata: "Kita kini mempunyai tanggungjawab untuk memberikan tekanan terhadap Myanmar supaya berubah dan melakukan pembaharuan politik."

"Kami menggesa kerajaan Asean meletakkan Myanmar dalam agenda mereka dan sekurang-kurangnya membincangkan isu ini pada sidang kemuncak mereka," katanya.