Bajet 2019 diharap fokus sektor e-dagang, digital
Kerajaan Johor berharap pembentangan Bajet 2019 di peringkat nasional akan memberi tumpuan untuk memajukan sektor e-dagang dan industri digital.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata ia merupakan antara aspek penting yang sedang diperhalusi pihaknya sebelum cadangan dihantar kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.
“Kita sedang mencari cara bagaimana kita dapat memperkembangkan perkhidmatan e-dagang atau industri digital di dalam negara khususnya negeri kita selain berharap mendapat lebih banyak peruntukan di dalam bidang ini.
”Kita juga akan meluaskan kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Telekom Malaysia atau agensi-agensi telekomunikasi di dalam industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pembiayaan Orang Ramai SGShop, di Johor Bahru hari ini.
Puah berkata, pelaburan di dalam bidang ini penting kerana Johor merupakan negeri peneraju e-dagang dan digital selari dengan Pelan Fiber Seluruh Negara (2017-2019) yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“Kita menjangkakan keseluruhan daerah Johor Selatan akan diliputi rangkaian ini dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ada beberapa kawasan telah diliputi sepenuhnya seperti Kota Iskandar di Iskandar Puteri selain kawasan perindustrian di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
“Ini kerana tanpa jaringan fiber ini kita tidak akan dapat menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi dan semua perbincangan berkaitan e-dagang atau industri digital ini tidak akan memberi sebarang makna,” jelasnya.
Katanya lagi, pelan perluasan jaringan fiber ini telah dimulakan di kawasan industri dan komersial serta akan diperluaskan ke kawasan perumahan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan bahawa Johor masih lagi menjadi destinasi pelaburan utama dari China meskipun berdepan dengan isu Forest City.
“Saya baru-baru ini telah melakukan lawatan kerja selama 4 hari ke China dan berjumpa dengan beberapa pelabur di sana. Secara umumnya mereka masih menganggap Malaysia sebagai lokasi positif untuk melakukan pelaburan dan Johor masih lagi kawasan pelaburan yang mereka minat.
“Kita juga telah memberi penerangan kepada mereka bahawa kita tidak ada isu berkaitan pembelian kediaman di Forest City. Mereka juga melihat isu Forest City bukan sesuatu perkara besar yang menghalang mereka daripada melakukan pelaburan.
“Bagaimanapun bagi isu kewarganegaraan, itu bukan bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kuasa kerajaan pusat dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Menurutnya, Johor juga boleh mengambil peluang daripada perang tarif antara China dan Amerika Syarikat dengan menarik kehadiran pelabur terutamanya dalam industri digital.
-Bernama

