Siasatan awal polis mendapati penumpang dua buah bas yang ditahan penyokong PAS dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir semalam bukan "pengundi hantu" tetapi perayu undi dan penyokong parti yang bertanding.

Ketua Polis Kelantan SAC 1 Zulkifli Abdullah juga berkata, langkah membawa semua penumpang itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bertujuan menjaga keselamatan mereka dan bukan untuk disiasat.

"Beri kita sedikit masa untuk menjalankan siasatan terperinci daripada setiap aspek dan apabila dapat cerita penuh, kita akan sampaikan kepada media.

"Pihak polis tidak menahan orang, cuma kita tentukan mereka dibawa ke tempat selamat. Dalam kejadian semalam penyokong sebuah parti menahan dua bas menuju ke Pasir Mas kononnya mereka pengundi hantu tetapi apabila polis tiba, kita dapati mereka perayu undi dan penyokong," katanya dalam sidang akhbar di Pasir Mas hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kumpulan itu kemudiannya dibenarkan menuju ke destinasi di Pasir Mas apabila keadaan reda.

Semalam polis Kelantan membuat kenyataan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang membuat sekatan ke atas kenderaan dan individu pada pilihanraya kecil hari ini.

Terima 13 laporan

Zulkifli berkata, polis tidak membenarkan individu atau mana-mana pihak membuat sekatan sepanjang proses pengundian kerana orang awam tidak dibenarkan bertindak demikian atau cuba memeriksa kad pengenalan pengundi kerana semata-mata percaya mereka pengundi hantu.

Beliau berkata, tindakan menahan bas berkenaan salah di sisi undang-undang dan pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana membuat halangan salah.

"Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan apabila selesai kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu beliau berkata polis menerima 13 laporan antara semalam dan pagi ini.

Beliau berkata proses pengundian berjalan lancar dan keselamatan terkawal walaupun terganggu sedikit pagi tadi akibat kemeriahan berlebihan penyokong parti.

"Walaupun sesetengah kes kita boleh ambil tindakan keras tetapi kita masih bersabar. Kalau ada lagi kes macam ini kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas," katanya.