Pejabat Pendaftar Pertubuhan memberi amaran bahawa Gabungan Pelajar Melatu Semenanjung (GPMS) boleh dibatalkan pendaftarannya jika dua kumpulan yang bertelagah untuk menguasai gabungan itu, gagal menyelesaikan pertikaian mereka.

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Wariman Kaswuri berkata, kedua-dua pihak telah menemuinya dan mereka telah dinasihatkan supaya berkompromi bagi menyelesaikan kemelut itu untuk kepentingan GPMS,

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan dua kumpulan terbabit yang mahu mengadakan persidangan agung masing-masing.

Kumpulan pimpinan Datuk Suhaimi Ibrahim akan mengadakan persidangan agung pada 17 dan 18 Disember ini, manakala kumpulan serpihan pula akan mengadakan seminggu lebih awal pada 10 Disember depan.

Wariman berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan dalam masa 60 hari dari tempoh kedua-dua pihak selepas mereka mengadakan persidangan masing-masing.

Katanya, pejabat Pendaftar Pertubuhan akan mengambil tindakan berdasarkan laporan tersebut.

"Pejabat akan menghantar notis kepada mereka supaya menyelesaikan pertikaian dan jika gagal pendaftaran GPMS boleh dibatalkan," tegas ketika dihubungi malaysiakini.

Orang tengah

Kemelut kepimpinan GPMS bermula pada hujung Oktober lalu apabila ahli Majlis Tertinggi (MT) GPMS memecat Timbalan Presidennnya, Shahril Rejab dan bekas Setiausaha Agungnya, Syed Annuar Syed Mohamad.

Ekoran tindakan tersebut, Shahril dan kumpulannya bertindak balas dengan mengambilalih kuasa kepimpinan GPMS dan mengantung pula jawatan presidennya.

Kini dua kumpulan mendakwa sebagai kumpulan yang sah mentadbir GPMS dan berlumba-lumba mahu mengadakan persidangan agung dan pemilihan semula ahli majlis tertingginya.

Sementara itu, jurucakap kumpulan serpihan itu, Syed Anuar berkata, beliau dipanggil oleh pendaftar pertubuhan berhubung perkara itu.

Katanya, sebelum inipun,pihaknya telah tawaran kepada Suhaimi untuk menyelesaikan masalah tersebut sepertimana yang dikehendaki oleh pendaftar pertubuhan itu.

Katanya, orang tengah yang boleh diterima oleh kedua-dua belah, telahpun dilantik untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut kepimpinan GPMS itu.

"Bagi kami, pintu rundingan sentiasa terbuka bagi kumpulan Suhaimi untuk tampil untuk sama-sama mencari penyelesaikan, demi kepentingan masa depan GPMS," katanya.

'Kumpulan haram'

Bagaimanapun, katanya, jika tiada sebarang perkembangan dari pihak Suhaimi, pihaknya akan meneruskan rancangan mengadakan persidangan khas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur Sabtu ini.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan dalam perbincangan jawatankuasa sementara GPMS bulan lalu.

"Kami telah menghantar jemputan kepada semua perwakilan termasuk Suhaimi dan Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad untuk menghadiri persidangan tersebut.

"Mereka juga boleh bertanding mana-mana jawatan dan kumpulan kami akan menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Sobri ketika dihubungi mendakwa, persidangan khas anjuran kumpulan serpihan itu adalah haram kerana melanggar Akta Pertubuhan 1959.

"Jika persidangan itu tetap diadakan, GPMS boleh dibubarkan dan diambilalih oleh Pendaftar Pertubuhan dan ini tentunya merugikan ahli-ahli dan orang Melayu sendiri," katanya.

Sobri berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kumpulan terbabit atas alasan mengadakan perhimpunan secara haram.

.