PAS takutkan pengundi, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan PAS bahawa ada pengundi hantu dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan PAS bahawa ada pengundi hantu dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
"Memang ada orang yang tidak dikenali tinggal di luar dan pulang untuk mengundi. Kita tak kenal dia dan dia memang pulang mengundi," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Malam tadi, menurut Najib, penyokong PAS telah menahan beberapa buah bas kerana mahu membuktikan wujudnya pengundi hantu, tetapi katanya, mereka sebenarnya cuba menakut-nakutkan pengundi sepertimana yang berlaku di Lunas.
Dalam pilihan kecil Lunas di Kedah pada 2000, para penyokong parti pembangkang telah menahan 12 bas yang membawa penyokong Barisan Nasional (BN) dan pekerja pilihanraya yang mereka dakwa sebagai pengundi hantu.
"Tidak ada pengundi hantu. Benar, mereka pengundi dari tempat lain. Pengundi dari luar dibenarkan mengundi, mereka balik untuk mengundi kerana nama mereka ada dalam senarai pemilih.
"Tetapi PAS tidak mahu mempercayainya. Mereka percaya wujudnya pengundi hantu. Dalam bas ada pengundi, pelancong dan lain-lain," katanya.
Pengundi hantu adalah mereka yang dibawa masuk dari kawasan lain untuk mengundi bagi pihak pemilih atau mereka yang telah meninggal dunia, tetapi namanya masih ada dalam senarai pemilih.
Tindakan tegas
Semalam, Ketua Polis Kelantan Zulkifli Abdullah berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menahan kenderaan atau individu yang disyaki sebagai pengundi hantu.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad berkata pada jam 2 pagi tadi, sekumpulan lelaki menahan sebuah van yang membawa ahli pergerakan itu di Kubang Bemban.
Mereka disoalsiasat selama dua jam dan diambil gambar sebelum polis tiba dan membawa ahli pergerakan itu ke ibu pejabat polis Pasir Mas di mana mereka membuat aduan polis, katanya.
Katanya, kejadian berlaku apabila ahli pergerakan tersebut dalam perjalanan pulang ke Rumah Umno Pahang di Slow Machang selepas tersesat ke Kubang Bemban.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaludin Mohd Jarjis ketika ditemui di ibupejabat polis itu berkata, kumpulan lelaki berkenaan menahan van yang membawa ahli Puteri Umno kerana menyangka mereka pengundi hantu.

