Bursa Malaysia secara keseluruhannya dibuka rendah hari ini, berbeza dengan prestasi aliran menaik semalam, berikutan minat risiko yang suram walaupun harga minyak mentah meningkat, kata peniaga.

Pada 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.31 mata kepada 1,820.59 daripada 1,826.9 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 5.04 mata lebih rendah pada 1,821.86.

Lingkungan pasaran pula dengan 140 kaunter rugi berbanding 118 kaunter untung manakala 158 kaunter tidak berubah, 1,493 kaunter tidak diniagakan dan 68 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 162.22 juta unit bernilai RM71.45 juta.

Peniaga berkata, Bursa mencatatkan prestasi berbeza berbanding kenaikan baru-baru ini susulan wujudnya pengambilan untung, dengan segelintir pelabur mengeluarkan pegangan mereka menjelang cuti hujung minggu yang lebih panjang.

Bursa tempatan akan ditutup pada Jumaat bagi cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan negara.

Peniaga lain berkata, walaupun Wall Street semalaman ditutup positif, sentimen di pasaran tempatan turut dipengaruhi ekuiti AS yang tidak memberangsangkan.

Sementara itu, Kanada dijangkakan bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dengan AS dengan perjanjian versi dikemas kini mungkin ditandatangani minggu ini.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank susut enam sen kepada RM29.94, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM9.55 dan CIMB turun dua sen kepada RM6.06.

Tenaga meningkat dua sen kepada RM15.74 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.00.

Antara saham aktif, Vivocom dan Sapura Energy masing-masing susut setengah sen kepada satu sen dan 34.5 sen, namun MY E.G naik tiga sen kepada RM1.40.

Indeks FBM Emas susut 38.39 mata kepada 12,775.95, Indeks FBMT 100 kurang 41.33 mata kepada 12,568.83, FBM 70 turun 41.79 mata kepada 15,313, Indeks FBM Emas Syariah merosot 49.05 mata kepada 12,909.36 manakala Indeks FBM Ace turun 14.69 mata kepada 5,368.02.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 26.53 mata kepada 17,864.19, Indeks Perusahaan kurang 15.77 mata kepada 3,233 dan Indeks Perladangan menguncup 20.94 mata kepada 7,585.36.

- Bernama