Menteri nak jumpa buskers OKU suatu rahmat - Freddie
Langkah proaktif Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad untuk bertemu sekumpulan buskers yang alat muzik mereka dirampas penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan sebagai suatu rahmat.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berkata komitmen menteri wilayah yang baru itu diyakini dapat menyelesaikan isu yang timbul dengan penuh muhibah.
“KARYAWAN melahirkan kesyukuran dan amat kagum dengan perhatian yang diberikan oleh menteri yang begitu mengambil berat perihal ini sehingga sanggup meluangkan masa bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.
“Komitmen daripada menteri untuk turun berjumpa ini satu rahmat kepada semua penghibur jalanan.
"Ini kerana beliau sudi untuk mendengar sendiri penjelasan segala permasalahan yang timbul dan pastinya akan diselesaikan dengan penuh muhibah,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini tular di media sosial tindakan penguatkuasa DBKL menyita alat muzik kumpulan ‘buskers’ OKU itu hingga mencetuskan cemuhan pengguna media sosial.
Berikutan itu, Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menyatakan kesediaannya bertemu dengan kumpulan terbabit selepas Hari Raya Aidiladha bagi mencari jalan penyelesaian.
Setiausaha akhbar kepada menteri Wilayah, Zulkifli Sulong ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan Khalid akan bertemu mereka pada Selasa ini sekitar jam 1.00 petang di bangunan DBKL.
Sementara itu, Freddie dalam kenyataan yang sama berkata persembahan penghibur jalanan menjadi tarikan kepada para pengunjung di sekitar ibu kota terutamanya di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang, Sogo dan beberapa kawasan yang telah digazetkan.
Oleh demikian Karyawan berharap artis jalanan sentiasa mengikut peraturan dan berhati-hati dengan sesetengah pihak yang gemar mengambil kesempatan terhadap mereka.

