Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, meninggalkan kerusinya sedia ada Asajaya seperti diramalkan sebelum ini akibat tekanan politik pembangkang.

Majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengumumkan perkara itu selepas bermesyuarat selama dua jam hari ini, lapor agensi berita nasional Bernama.

Sejak April, malaysiakini melaporkan Taib, berketurunan Melanau, mula mendapatkan pandangan pemimpin-pemimpin parti itu untuk berpindahan ke kawasan majoriti suku kaum itu selepas kawasan sedia ditentang hebat oleh kumpulan pemimpin Melayu dan juga bekas timbalan presiden PBB, Abang Abu Bakar.

Bagaimanapun Taib masih mengekalkan kerusi parlimen di Kota Samarahan. Buat masa ini kerusi Balingian dipegang oleh Abdul Ajis Abdul Majeed.

Dalam satu wawancara dengan wartawan minggu lalu, Abang Abu Bakar mendakwa Taib "takut" untuk mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat.

Ketua menteri itu pernah dilaporkan berkata pilihanraya negeri kali ini, yang dijadualkan selewat-lewatnya November, "paling mencabar" bagi partinya dan juga Barisan Nasional.

Masalah jerebu

Sarawak kini sedang dilanda jerebu tebal sehingga menyebabkan 70 penerbangan syarikat MAS dibatalkan sejak seminggu lalu.

Abang Abu Bakar berkata masalah jerebu itu tidak membenarkan ketua menteri itu mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat.

"Taib tidak suka jerebu dan semua orang Sarawak masih belum lupa bagaimana ketua menteri itu meninggalkan negeri ketika masalah itu memuncak pada 1997," katanya.

Musim kemarau sekarang turut menyebabkan kekurangan air di sungai-sungai yang menjadi laluan pengangkutan utama untuk kawasan-kawasan pedalaman ketika pilihanraya.

Terdapat kira-kira 5,000 rumah panjang di seluruh negeri yang hanya boleh dicapai dengan pengangkutan air.