Seorang senator dari Umno berkata, parti itu perlu mula mendengar suara dan kehendak rakyat di luar berbanding hanya kalangan anggota parti.

Menurut Khairul Azwan Harun langkah itu perlu dimulakan oleh pemimpin Umno dan meraikan pandangan yang berbeza daripada rakyat yang menolak mereka pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

"Para pemimpin mesti mengambil langkah pertama dengan keluar dari echo chamber (ruang gema).

"Pandangan anggota Umno bukan lagi segala-galanya tetapi suara rakyat jauh yang lebih berperanan untuk menentukan sama ada politik kita relevan atau tidak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Khairul Azwan dibuat dua hari selepas bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan pandangannya bahawa pemimpin BN perlu memikirkan naratif baru bagi menghadapi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau berpendapat rakyat tidak mempedulingan sangat tentang janji 100 hari atau janji lain dalam manifesto HARAPAN.

“Tak laksana pun rakyat tak kisah. Mereka hanya mahu buang Umno-BN pada PRU ke-14. Justeru, parti saya kena fikir strategi baru,” katanya pada 17 Ogos.

Untuk rekod semasa Khairy menjadi ketua pemuda, Khairul Azwan berkhidmat sebagai naib ketua. Bagaimanapun Khairul Azwan gagal dalam cubaannya menggantikan Khairy sebagai ketua sayap kanan Umno itu dalam pemilihan baru-baru ini apabila kalah kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar, kanan).

Menurut Khairul Azwan, membawa Umno dari aliran terlalu kanan menjadi lebih sederhana akan menjadikan parti itu lebh menarik dalam suasana politik rencam budaya sekarang.

Katanya itu adalah pilihan terbaik yang ada pada Umno untuk terus menarik minat orang ramai.

Khairul Azwan juga mengingatkan, walaupun Umno sebuah parti Melayu namun pada masa sama ia mesti mempertahankan hak-hak semua kaum.

"Melindungi hak-hak Melayu maknanya melindungi hak semua orang kerana kita adalah sebuah negara dan negara yang berpecah-belah menjadi ancaman kepada kemajuan Melayu.

"Memanglah Umno perlu terus melindungi apa ditetapkan tetapi ia bukan bermakna kita boleh melupakan kaum-kaum lain di Malaysia.

"Anggota Umno sekarang perlu berundur setapak dan menggunakan waktu itu untuk mencari naratif serta strategi baru bagi memenangi pilihan raya," katanya.

[Baca berita penuh]