Parlimen lulus RUU Perbekalan tanpa bantahan
PARLIMEN | Rang undang-undang perbekalan untuk agihan semula peruntukan kepada kementerian yang telah distrukturkan semula diluluskan di Dewan Rakyat malam ini.
Rang undang-undang itu yang akan melibatkan 14 kementerian diluluskan tanpa bantahan.
Perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang itu dilakukan mengikut kementerian, bermula dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan berakhir dengan Kementerian Kewangan.
Selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, beberapa kementerian distrukturkan semula dan diberi nama baru sementara beberapa kementerian baru ditubuhkan. Satu kementerian dihapuskan.
Susulan itu, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu mengagihkan semula peruntukan kepada kementerian yang ada ketika ini.
Jumlah keseluruhan pengagihan semula bagi tujuan pengurusan adalah RM3.06 bilion sementara jumlah keseluruhan bagi tujuan pembangunan adalah RM6.23 bilion.

