Pemuda PAS gembira Mujahid minta maaf
PAS menyambut baik permohonan maaf Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berhubung kenyataan beliau dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya sudah lama berpendirian menteri sepatutnya tegas dalam isu berkenaan.
"Kami menyambut baik keyataan yang dikeluarkan oleh menteri pagi tadi apabila beliau mengeluarkan kenyataan memohon maaf terhadap kekenduran kenyataan yang dikeluarkan.
"Kita sudah lama menyatakan menteri sepatutnya tegas dalam isu berkaitan dengan LGBT," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Mujahid yang juga menteri hal ehwal Islam memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam (offended) dengan kekeliruan yang telah berlaku dan juga menarik semula kenyataannya yang kurang sesuai.
"Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian saya selaku menteri kekal, iaitu kita langsung tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.
"Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut," katanya.
Beliau dalam kenyataan pagi tadi turut menjelaskan tiada arahan atau keizinan daripadanya untuk golongan transgender berkongsi tandas awam dengan wanita.
Katanya, dalam jawapan spontan dan sepintas lalunya minggu lalu, beliau hanya berkata “maybe” (mungkin) dan “if” (kalau) kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan.
Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan diharap tidak memberi ruang kepada golongan LGBT itu.
"Jangan diberikan ruang kepada golongan yang ingin mengiktiraf dan memberikan hak selepas pandangan LGBT.
"Tetapi dalam masa yang sama atas prinsip dakwah kita sentiasa mendekati golongan ini dengan tujuan untuk menarik mereka ke jalan yang benar dan mengembalikan mereka kepada fitrah yang sebenar sebagai seorang manusia," jelasnya yang juga ketua Pemuda PAS negeri.

