Tentunya masih segar dalam ingatan kita enam tahun lalu bagaimana imej pasukan polis negara "dilebamkan" oleh insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kejadian itu, mata mantan Timbalan Perdana Menteri itu dilebamkan sendiri oleh Ketua Polis Negara ketika itu. Akibatnya imej polis jatuh merudum. Sejak itu polis dianggap sebagai "musuh" oleh rakyat. Segala tindakan mereka dipandang dengan penuh sangsi.

Selama tiga tahun lalu pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan imej polis. Langkah paling drastik ialah penubuhan Suruhanjaya Penambahbaikan Perkhidmatan Polis pada tahun lalu. Hasilnya satu laporan yang mengandungi pelbagai kritikan dan saranan dikeluarkan oleh suruhanjaya berkenaan.

Baru sahaja imej polis hendak dipulihkan dengan pelbagai program seperti Rakan Cop dan kempen " Polis Anti-Rasuah" tiba-tiba kita dikejutkan pula oleh klip video yang menunjukkan bagaimana tahanan wanita dibogel dan diketuk ketampikan ketika berada dalam lokap.

Sebenarnya perbuatan polis membogelkan orang tahanan bukan perkara baru. Ia sudah menjadi amalan zaman berzaman. Namun kali ini ia menjadi gempar kerana tindakan pegawai polis berkenaan telah dirakam dan menjadi bahan bukti salahlaku polis.

Sebelum ini banyak aduan diterima berhubung tahanan dipaksa berbogel, diarah membuat ketuk ketampi dan dipukul, tetapi semuanya tanpa bukti jelas. Berbeza dengan insiden wanita China yang berbogel dan diketuk ketampikan ini, meminjam istilah para remaja, polis Malaysia kali ini "kantoi"! Tertangkap " red handed" kata orang putih!

Lebam dan bogel

Oleh itu pihak-pihak yang selama ini serik berurusan dengan polis, tentunya menyanjung perbuatan anggota polis berpangkat korperal itu mencuri rakam insiden berkenaan. Bagi mereka anggota berkenaan telah melakukan satu "public service" yang baik.

Nampaknya keghairahan anggota polis "bermain" dengan telefon bimbit yang canggih bukan sahaja memakan diri sendiri tetapi mengaibkan seluruh pasukan keselamatan itu.

Kalau dalam insiden Anwar dulu, air muka polis telah "dilebamkan", kini imje polis Malaysia "dibogelkan" sepuas-puasnya. Bukan media tempatan sahaja memainkan isu ini malah media antarabangsa turut mengambil kesempatan dengan merumuskan " Abu Gharib" juga wujud di negara yang aman, bertamadun dan maju ini

Namun para pegawai polis serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar mempertahankan tindakan "bogel dan ketuk ketampi" itu. Kononnya ia sebahagian dari prosidur soalsiasat polis .

Mungkin benar ia prosidur polis dan memang logik orang tahanan dibogelkan sebelum disoalsiasat bagi memastikan mereka tidak menyorok apa-apa pada tubuhnya. Tetapi bagaimana dengan ketuk ketampi dan pukul memukul?

Adakah layanan buruk dan keganasan juga termasuk dalam prosidur? Timbalan ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan sendiri terkedu bila ditanya olah wartawan mengenai amalan ketuk ketampi itu.

Amalan dalam lokap

Ada pihak mengatakan walapun ketuk ketampi tiada dalam prosidur rasmi polis namun ia sudah menjadi amalan wajib di dalam lokap. Ia mesti dibuat. Logiknya apabila suspek melakukan ketuk ketampi, tiada sebarang benda dapat disorokkan kerana ketika "excercise" itu dibuat, segala benda termasuk dadah dan barang kemas yang disorok di dalam kemaluan atau dubur akan keluar.

Terdapat juga pihak yang mempertahankan kaedah soalsiasat polis dengan alasan, semua orang tahanan perlu dipastikan tidak memiliki barang-barang yang boleh membahayakan tahanan lain, pegawai polis yang mengawalnya serta dirinya sendiri. Menurut mereka, tiada alternatif lain lagi, selain mengarahkan orang tahanan berbogel dan melakukan ketuk ketampi. Lantas mereka meminta orang politik serta media tidak membesar-besarkan isu ini.

Hujah itu boleh diterima dan kaedah soalsiasat itu juga mungkin wajar selagi ia dilakukan mengikut prosidur yang ditetapkan iaitu tahanan lelaki diperiksa oleh anggota polis lelaki dan suspek wanita diselia oleh anggota polis wanita.

Rasanya setakat diarah berbogel dan ketuk ketampi sebanyak 10 kali dalam tempoh yang singkat, ia tidak keterlaluan. Ini satu keperluan kerana pihak polis perlu memastikan orang tahanan tidak menyembunyikan sesuatu dan tidak membahayakan orang tahanan lain.

Bagaimanapun jika salah laku itu membabitkan kezaliman dan keganasan seperti membelasah orang tahanan, itu melampaui hak asasi manusia. Perbuatan ganas dan tidak berperi kemanusiaan itu memang tidak boleh dikompromi.

Namun ada ketikanya kita kena akur dengan situasi kerana semua tindakan manusia dibuat mengikut keperluan dan tekanan semasa. Oleh itu kita perlu terima ada ketikanya pihak polis perlu berkasar dan berkeras untuk menangani sesuatu insiden.

Jika situasi semasa memerlukannya berkeras, memang wajar mereka berkeras, jika suasana membenarkan mereka berlembut dan memujuk, sepatutnya teknik bersopan dan tolak ansur digunakan.

Akal dan budi bicara

Dalam kes tahanan wanita, sepatutnya anggota polis tidak perlu menengking herdik, berkasar dan mencabul maruah mereka, terutama sekali jika mereka pelancong asing yang hanya faham bahasa Mandarin.

Pokoknya segala tindakan perlu menggunakan budi bicara dan akal. Pistol, cota atau penumbuk tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, terutama sekali jika menyoalsiasat orang tahanan di dalam lokap. Jika tindakan dibuat dengan mengikut perasaan sahaja sebagaimana dalam kes mata lebam Anwar, padahnya buruk sekali.

Seperkara lagi yang patut diberikan perhatian dalam siasatan polis terhadap insiden ini ialah soal kemampuan anggota polis berpangkat rendah memiliki barangan berharga mahal. Siasatan polis dan badan penyiasat bebas perlu menjurus kepada bagaimana anggota polis berpangkat koperal itu mampu memiliki telefon bimbit yang canggih. Semua orang tahu telefon bimbit berkamera bukan murah harganya!

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan jangan ada apa-apa atau siapa-siapa dilindungi. Sayang sekali isu bogel dan ketuk ketampi ini telah diperbesarkan hingga merugikan industri pelancongan negara. Malah jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan China kerana insiden itu dikaitkan dengan layanan buruk terhadap rakyat negara itu yang berada di negara ini.

Semuanya gara-gara sebuah telefon bimbit