'Kursus BTN dihadiri hakim bukan berunsur politik'
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) berkata kursus yang dihadiri hakim-hakim Mahkamah Sesyen yang melibatkan kerjasama Biro Tatanegara (BTN) sebelum ini adalah berunsur "kenegaraan" dan bukannya politik.
PKPMP mengeluarkan kenyataan itu selepas Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mendedahkan bahawa hakim-hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini diarahkan menghadiri kursus 'Latihan Transformasi Negara' yang dianjurkan Biro Tatanegara (BTN) dua bulan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Kursus-kursus yang diadakan tersebut bukan sahaja melibatkan hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret tetapi turut melibatkan kakitangan sokongan.
"Modul yang dirancang bagi kursus ini adalah di bawah seliaan PKPMP dan bukan BTN sepenuhnya. Modul kursus ini adalah berbentuk team-building dan generic bagi meningkatkan semangat patriotisme, menerapkan semangat kerja berpasukan dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga PKPMP.
"Ingin ditegaskan bahawa modul yang dirancang bukan berunsurkan politik dan bukan bertujuan bagi mengdoktrinkan pemikiran hakim-hakim," kata PKPMP melalui kenyataan media hari ini.
'Tarikh diadakan hanya kebetulan'
Pejabat badan kehakiman berkenaan juga berkata kursus itu telah "dirancang lebih awal" dan tarikh ia diadakan iaitu kira-kira dua bulan sebelum sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 "hanya kebetulan".
Siri pertama kursus itu diadakan di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Mac 2018.
Manakala kursus yang seterusnya telah diadakan pada 23 hingga 25 Mac 2018 di Kem Bina Negara, Tanjung Rhu, Sepang dan 6 hingga 8 April 2018 di Kem Bina Negara di Kulim, Kedah.
Jelas PKPMP, hanya tiga siri kursus yang sempat diadakan dan siri kursus yang lain telah ditangguhkan oleh BTN selepas kerajaan di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan untuk mengkaji semula kedudukan dan peranan BTN.
Tambah kenyataan PKPMP itu lagi, kerjasama pihaknya dengan BTN dalam menganjurkan kursus berkenaan adalah bagi "menjimatkan kos penganjuran".
"Amalan kerjasama dengan agensi lain bukanlah suatu yang baharu dan PKPMP telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan agensi lain seperti Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dan Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN) bagi tujuan kursus dan latihan
"Ingin juga dijelaskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret merupakan pegawai dalam perkhidmatan awam menurut Perkara 132(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang mana mereka adalah tertakluk kepada pekeliling perkhidmatan dan peraturan yang mengawal selia penjawat awam termasuk keperluan menghadiri sebarang latihan ataupun kursus," katanya.
Penasihat LFL, N Surendran dalam kenyataan media 28 Julai lau mempersoalkan objektif kursus BTN berkenaan dan menyifatkan ia boleh mengancam kebebasan badan kehakiman.
Surendran turut menyorot bahawa BTN dikenali mempromosikan perkauman dan perpecahan selain sebagai alat propaganda BN.
HARAPAN dalam manifestonya sebelum ini memasukkan BTN dalam senarai agensi yang akan dibubarkan.
Namun laporan awal bulan ini menyatakan ia akan dikekalkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

